Ikuti Kami:

Dua Ikon, Satu Pentas: Slam dan Exists Cipta Sejarah di Kuala Lumpur

Dua Ikon, Satu Pentas: Slam dan Exists Cipta Sejarah di Kuala Lumpur

Dalam satu malam penuh magis dan nostalgia, dua nama besar dalam sejarah muzik Malaysia, Slam dan Exists, bergabung di pentas buat julung kalinya menerusi konsert Slam X Exists Our Journey yang berlangsung dengan penuh gemilang di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert yang menghimpunkan dua vokalis legenda, Ezad Lazim dan Zamani Ibrahim, menjadi medan penyatuan dua era, dua suara, dan dua legasi yang telah mewarnai landskap muzik tanah air sejak dekad 1990an.

Gabungan ini bukan sekadar mempertemukan dua kumpulan, tetapi juga menyatukan kenangan dan emosi ribuan peminat yang membanjiri dewan konsert.

Konsert dimulakan dengan Jesnita, yang dinyanyikan secara duet istimewa bersama Zamani, memberi nafas baharu kepada lagu ikonik Exists itu. Mereka meneruskan momentum dengan Kembali Merindu, lagu asal Slam yang juga disampaikan secara duet, mewujudkan penyatuan simbolik antara dua kumpulan ini.

Ezad kemudian meneruskan segmen Exists dengan lagu-lagu kegemaran ramai seperti Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya, Anugerah II, Masih Terserlah Ayumu, Tak Mungkin Berpaling, Kapal Terbang Kertas, Bunga, Julia dan Percayakan Siti.

Persembahan turut diserikan dengan Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan Mengintai Dari Tirai Kamar, mencetuskan nyanyian beramai-ramai dalam kalangan peminat.

Slam mengambil alih pentas, membuka segmen mereka dengan lagu-lagu seperti Nurkisah, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kurnia, Jika Kau Rasa Getarnya, Suratan dan Manisnya Rindu. Karisma Zamani dan persembahan penuh perasaan terus menyentuh hati peminat yang tidak jemu bersorak.

Detik menyentuh turut hadir dengan lagu Untukmu Ibu, diikuti Biarkan Ia Pergi, serta medley khas Bukan Niat Membalas Derita dan Buat Seseorang daripada filem Maria Mariana.

Persembahan diteruskan dengan Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi sebelum kedua-dua penyanyi bergabung semula menerusi lagu duet Kembali Terjalin, satu lagi karya asal Slam yang diberi nafas baharu dengan gabungan suara Ezad dan Zamani.

Sebagai kemuncak malam, Exists dan Slam bersatu buat pertama kalinya dalam persembahan duet eksklusif Alasanmu 2025, lagu asal Exists yang digubah semula dalam versi moden dan dinyanyikan bersama oleh Ezad dan Zamani.

Lagu penutup ini menjadi simbol sebenar tema Our Journey, mewakili penyatuan dua legasi dalam satu suara dan disambut dengan sorakan serta tepukan gemuruh seluruh dewan.

Tiket konsert mencatatkan jualan memberangsangkan sejak awal dilancarkan, dengan kategori “Langkah Seiringan” habis terjual dalam tempoh tiga hari, manakala kategori lain turut menyusul hampir habis dalam tempoh sebulan.

Sambutan ini jelas membuktikan bahawa kumpulan era 90an masih utuh dan terus mendapat tempat istimewa di hati peminat muzik tanah air.

Komen
Loading...