Dua Bintang Asia Tenggara Bergabung: Ernie Zakri & Anggi Marito Lancar “Kisah Penuh Kecewa”
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Dua nama besar dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, melakar sejarah tersendiri dengan pelancaran lagu duet terbaru mereka, “Kisah Penuh Kecewa”.
Lagu berentak power ballad ini menyelami kisah luka cinta yang mendalam, tetapi sarat dengan mesej kekuatan dan ketabahan.
Lagu ini adalah hasil kolaborasi kreatif bersama Clara Riva, S/EEK, dan IRVNAT, menggambarkan keindahan seni muzik yang melangkaui sempadan negara.
Menurut Ernie Zakri, yang pernah memenangi kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39, karya ini mengisahkan perpisahan yang berlaku bukan kerana tiada cinta, tetapi keputusan untuk tidak lagi bersama.
“Walaupun tema lagunya sedih, ia tetap membawa harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan,” kata Ernie yang turut berkongsi pengalaman merakamkan lagu itu di Jakarta semasa bulan Ramadan.
Anggi Marito, pemenang tempat ketiga Indonesian Idol musim ke-11, meluahkan penghargaan kerana berpeluang bekerjasama dengan Ernie.
“Ernie adalah seorang penyanyi hebat yang dapat menyampaikan emosi dengan mendalam. Saya sangat terinspirasi bekerja dengannya,” kata Anggi.
Proses penulisan lagu ini mengambil kira kekuatan vokal kedua-dua penyanyi, menghasilkan karya yang bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi juga menyatukan jiwa pendengar di Malaysia dan Indonesia.
Sebagai tambahan, Anggi Marito akan membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang bakal berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura.
Lagu “Kisah Penuh Kecewa” kini tersedia di semua platform penstriman digital, dengan video muzik rasmi yang turut membawa naratif mendalam kisah ini.
“Kami berharap lagu ini dapat menjadi sumber kekuatan kepada pendengar, terutama mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan,” ujar kedua-dua penyanyi ini.
Dengan melodi megah dan lirik menyentuh jiwa, “Kisah Penuh Kecewa” dijangka menjadi siulan ramai serta penghibur kepada hati yang terluka.