DRE Coffee Rancang Lebar Sayap ke AS Selepas Buka Cawangan Pertama di Cyberjaya
- oleh MDaily Editor
- 27 Mar 2026 10:35 pm
Jenama kopi tempatan, DRE Coffee, mengambil langkah berani untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila merancang membuka outlet pertama dalam kampus sebuah universiti terkenal di Amerika Syarikat (AS) seawal Mei ini, sekali gus mencerminkan keyakinan usahawan tempatan terhadap potensi global industri kopi.
Pengasasnya, Danish Adam Mohd Fadzil berkata, perancangan itu dibuat selepas syarikat memperoleh kelulusan operasi di AS serta menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi strategik yang kini berpangkalan di Eropah.
Menurutnya, rakan tersebut akan bertindak sebagai pengendali utama operasi di AS, dengan lokasi outlet pertama disasarkan berhampiran kampus universiti dan beroperasi hampir 24 jam sehari.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita sasarkan pembukaan di AS sekitar Mei, memanfaatkan keperluan tinggi terhadap kopi dalam kalangan pelajar dan komuniti bandar,” katanya.
Di peringkat domestik, DRE Coffee turut mencipta langkah signifikan dengan pelancaran cawangan komersial pertamanya di Cyberjaya yang beroperasi 24 jam, selari dengan gaya hidup komuniti bandar moden.
Danish berkata, pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi pertama bukanlah kebetulan, sebaliknya didorong faktor sentimental selain perkembangan pesat kawasan itu sebagai hab pendidikan, teknologi dan kediaman dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dulu kawasan ini agak sunyi, namun kini menjadi tumpuan dengan pembangunan pesat termasuk perumahan, pusat beli-belah serta institusi pendidikan,” ujarnya.

Tambah beliau, pengalaman menimba ilmu di Seattle, AS antara pusat budaya kopi dunia, memberi inspirasi untuk membangunkan jenama yang bukan sekadar menjual kopi, tetapi membina komuniti seperti yang dilakukan jenama global terkemuka.
Berdepan persaingan sengit dalam industri, Danish mengakui kehadiran jenama besar sebagai cabaran, namun yakin strategi berbeza mampu meletakkan DRE Coffee pada landasan tersendiri.
Katanya, konsep perniagaan yang diketengahkan memberi penekanan kepada ‘pengagihan kekayaan’, dengan membuka peluang kepada pekerja untuk berkembang daripada barista kepada rakan kongsi dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Sebagai syarikat yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI), DRE Coffee turut memperkenalkan konsep unik berteraskan “Minum • Kongsi • Jana”, iaitu pendekatan yang bukan sahaja menawarkan kopi premium, malah membuka peluang pendapatan dan ganjaran kepada komuniti melalui ekosistem digital yang dibangunkan.

Dari sudut inovasi, syarikat turut memanfaatkan AI dalam pembangunan sistem dan aplikasi, yang berjaya disiapkan dalam tempoh kurang sebulan, sekali gus menjimatkan kos serta masa operasi.
Selain itu, semua resipi minuman dibangunkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman dengan penawaran awal empat menu utama seperti Strawberry Matcha, Raspberry Latte, Dirty Coconut Velvet Latte dan Grey Medley Latte sebelum diperluaskan secara berperingkat.
Strategi harga kompetitif turut menjadi tarikan, apabila semua minuman ditawarkan di bawah RM10, malah sempena pelancaran, pelanggan boleh menikmati harga promosi serendah RM1.99.
DRE Coffee mendapatkan bekalan biji kopi dari Brazil dan Indonesia bagi memastikan konsistensi rasa dan kualiti, sejajar dengan aspirasi untuk memenuhi citarasa pasaran tempatan dan antarabangsa.
Langkah agresif jenama ini dilihat berpotensi memberi nafas baharu kepada industri kopi tempatan, selain membuka ruang kepada lebih ramai usahawan Malaysia untuk bersaing di pentas global.




