Ikuti Kami:

Drama Vertikal “My Ramadan Love Story” Angkat Nilai Kasih Sayang Dalam Ramadan

Drama Vertikal “My Ramadan Love Story” Angkat Nilai Kasih Sayang Dalam Ramadan

Bersempena kehadiran bulan mulia, P-Circle dengan kerjasama Nuansa Sdn Bhd tampil dengan kelainan menerusi naskhah drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story yang mengangkat kisah cinta sederhana, namun sarat dengan nilai kemanusiaan dan keikhlasan.

Drama yang mengetengahkan tema berbeza daripada drama tipikal Ramadan ini bukan sekadar hiburan, malah mengajak penonton untuk memperlahankan langkah, merenung diri serta menjadi lebih peka terhadap hati dan niat dalam mengejar keberkatan.

Penerbit Kreatif, Osman Ali berkata idea menghasilkan drama tersebut tercetus daripada pemerhatian terhadap detik-detik kecil masyarakat tempatan yang sering dipandang sepi sepanjang bulan Ramadan.

“Drama ini diilhamkan daripada detik-detik sederhana seperti interaksi ringkas di masjid atau momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa. Detik seperti ini mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan sesama manusia,” katanya pada majlis tayangan perdana dan berbuka puasa bersama media di Courtyard by Marriott, di sini, hari ini.

Menurut Osman, keunikan My Ramadan Love Story terletak pada pendekatan penceritaannya yang lebih tenang, jauh daripada konflik besar atau emosi yang terlalu dramatik yang sering menjadi formula drama arus perdana.

“Dalam drama ini, cerita berkembang melalui detik-detik kecil yang penuh makna seperti pandangan mata, kesunyian dan perasaan yang dipendam. Ia mengetengahkan satu bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat.

“Kami berharap drama ini dapat menyentuh hati penonton kerana kisah yang dibawakan sangat dekat dengan kehidupan ramai, khususnya mengenai erti kesabaran, menjaga batas dalam hubungan serta kepercayaan bahawa setiap perkara berlaku pada waktunya,” tambahnya.

Naskhah ini mendapat sentuhan kreatif daripada pengarah berpengalaman luas, Shuhaimi Zulkefli.

Ia turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ezzanie, Muaz Zabir, Fara Nadiah, Wan Raja, Amanda Naza, Syrulezwan, serta ramai lagi.

Majlis tayangan perdana itu juga menjadi lebih bermakna apabila turut meraikan anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak produksi dan penganjur, P-Circle, bagi berkongsi kegembiraan serta menyantuni golongan yang memerlukan sempena Ramadan.

Dalam pada itu, pihak P-Circle menjelaskan bahawa penghasilan drama vertikal ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan mereka dalam memperkasa kandungan original tempatan yang lebih segar dan relevan dengan gaya hidup penonton masa kini yang gemar mengakses kandungan melalui peranti mudah alih.

Loading...