Ikuti Kami:

Drama TikTok ‘Hello Bam Bam’ Angkat Isu Sosial dan Kesedaran Mental

Drama TikTok ‘Hello Bam Bam’ Angkat Isu Sosial dan Kesedaran Mental

Drama TikTok bertajuk Hello Bam Bam muncul sebagai karya CSR yang mengangkat isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak serta kehidupan insan terpinggir dengan pendekatan segar menerusi platform digital yang dekat dengan masyarakat, khususnya golongan remaja.

Diterbitkan oleh Video Brosur dengan kerjasama MFI Group, drama ini menampilkan 40 episod yang penuh emosi, dengan keunikan pengakhiran interaktif apabila penonton berpeluang memilih penamat sama ada berakhir dengan kisah gembira atau sedih.

Mengangkat tema “Hidup Itu Struggle.. Tapi Kami Tak Give Up!”, Hello Bam Bam mengetengahkan realiti tekanan hidup, buli, cubaan bunuh diri, krisis identiti serta kezaliman sosial yang semakin membimbangkan.

Menurut penerbit, Amy Mazurah, pemilihan TikTok sebagai medium utama adalah hasil kajian mendalam terhadap capaian audiens platform tersebut.

“Hampir 30 tahun saya di belakang tabir, kali ini saya mahu buat sesuatu yang berbeza. TikTok mempunyai jumlah audiens yang besar.

“Berdasarkan kajian kami, tontonan drama di platform ini boleh mencecah sehingga 148 juta, malah untuk hashtag sahaja capaiannya boleh mencapai 1 bilion. Jadi, kalau nak sampaikan mesej, TikTok adalah platform terbaik,” katanya.

Amy turut menjelaskan pemilihan watak yang tidak tipikal seperti khunsa dan tomboy menjadi kunci kepada jalan cerita.

“Saya tidak mahu watak lelaki atau perempuan biasa kerana itu terlalu tipikal. Saya mahukan kelainan, sebab itu saya satukan watak tomboy dan khunsa sebagai sahabat rapat. Kehidupan mereka berubah selepas bertemu Bam Bam, seorang kanak-kanak terbiar yang akhirnya menjadi punca mereka bangkit memperbaiki kehidupan. Watak Bam Bam inilah yang membawa transformasi dan menjadi simbol harapan dalam drama ini,” jelasnya.

Hello Bam Bam arahan Hasyim Rejab mengangkat kisah Awin (Syafie Naswip), seorang khunsa yang sejak kecil melalui penderitaan akibat dera dan buli. Kehadirannya berubah apabila dia diselamatkan oleh Deddy (Diva AA), seorang pendandan rambut flamboyan yang membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Awin kemudian bertemu Jojo (Hello Angah), seorang tomboy yang menyembunyikan kesedihan di sebalik sikap lantang. Pertemuan mereka dengan Bam Bam (Bang Aji), seorang kanak-kanak terbiar yang hampir menjadi mangsa sindiket minta sedekah oleh ayahnya sendiri (Sofi Jikan), mengubah seluruh perjalanan hidup mereka.

Meskipun dihimpit kesusahan, ancaman daripada musuh lama, serta kezaliman masyarakat sekeliling, kasih sayang dan tekad membesarkan Bam Bam menjadikan Awin dan Jojo berani melangkah ke hadapan.

Selain Syafie Naswip, Hello Angah dan Bang Aji, drama ini turut menampilkan Diva AA, Maria Farida, Sofi Jikan, Kodi Rasheed, Sharina Richie, Moja daripada kumpulan Late Night Frequency dan Lon.

Projek Hello Bam Bam turut mendapat sokongan Tourism Johor serta beberapa penaja seperti Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp, Berjaya Waterfront Hotel, Majalah Santai Travel dan Restoran KOPIHUT.

Artis legenda era 90-an, Ady Wow, turut menyumbangkan lagu baharu berjudul “Luahan” sebagai lagu tema rasmi drama ini.

Komen
Loading...