Ikuti Kami:

Drama Hilang Kasyorga Bongkar Realiti Pedih Di Sebalik Lorong-Lorong Kuala Lumpur

Drama Hilang Kasyorga Bongkar Realiti Pedih Di Sebalik Lorong-Lorong Kuala Lumpur

Lorong-lorong sempit di tengah bandar raya kini menjadi latar utama untuk sebuah drama yang menyentuh hati. Hilang Kasyorga, arahan Feroz Kader, membawa penonton melihat realiti perit kehidupan anak jalanan dan sisi gelap Kuala Lumpur yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Drama ini akan mula disiarkan pada 23 Jun 2025 di saluran DEGUP, Unifi TV (Saluran 120). Ia bukan sekadar drama biasa, tetapi satu kisah yang membuka mata tentang isu sosial seperti kanak-kanak terbiar, perdagangan manusia dan kuasa yang disalah guna.

Kisah bermula apabila seorang kanak-kanak jalanan bernama Kasyorga (lakonan Adra Mikayla) hilang semasa bermain. Bapa angkatnya, Pak Bakar (Azhar Sulaiman), yang menjaga Kasyorga tanpa hubungan darah, berusaha mencarinya walaupun berdepan bahaya.

Dalam pencariannya, Pak Bakar dibantu oleh Rodi (Kamal Adli), seorang bekas pembunuh upahan yang cuba berubah. Namun, dia ditarik semula ke dalam dunia lamanya apabila diberi dua tugas mencari Kasyorga dan membunuh Datuk Zaza (Nabila Huda), seorang ahli perniagaan wanita yang terlibat dalam skandal besar.

Cerita menjadi semakin mendalam apabila muncul watak-watak lain seperti Reza (Luqman Hafiz) dan Ram (Arfie Shah) yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia. Drama ini juga menyentuh isu berat seperti pedofilia dan konspirasi yang mengganggu emosi penonton.

Penggambaran dilakukan di lokasi sebenar seperti Chow Kit, Pudu dan Bukit Bintang untuk memberikan rasa yang lebih realistik.

Menurut pengarahnya, Feroz Kader, Hilang Kasyorga bukan hanya kisah kehilangan seorang anak jalanan, tetapi kisah kehilangan rasa peduli dalam masyarakat.

“Saya mahu penonton rasa sendiri kerasnya hidup di jalanan. Ini bukan kisah rekaan semata-mata. Kita ambil inspirasi dari kejadian sebenar dan gabungkan dengan elemen dramatik untuk mencetuskan kesedaran,”

“Saya juga cabar diri dan pasukan produksi untuk keluar dari zon selesa. Kami rakam di lorong sebenar, kadang-kadang tanpa kawalan penuh, hanya untuk dapatkan suasana sebenar yang boleh dirasai penonton.” katanya.

Barisan pelakon turut menampilkan nama-nama terkenal seperti Ellie Suriaty, Fadilah Mansor dan wajah baharu Dina Allysha. Semua memberikan lakonan penuh perasaan dan menyentuh hati.

Saluran DEGUP di bawah Unifi TV Originals semakin dikenali sebagai platform untuk drama yang berani dan tidak klise. Hilang Kasyorga menyertai senarai drama terdahulu seperti Din Tiger, 11 Cinta Sebelum Kamu, Alibi dan WOK yang berjaya menarik perhatian ramai.

Hilang Kasyorga akan disiarkan setiap hari Isnin pada jam 11 malam bermula 23 Jun 2025 di DEGUP, Saluran 120 di Unifi TV. Penonton juga boleh menonton semula melalui fungsi Catch Up di aplikasi Unifi TV.

Bagi yang belum melanggan Unifi TV, inilah masa terbaik untuk menonton drama tempatan yang berani dan penuh makna.

Komen
Loading...