Setelah lebih sedekad memahat nama dalam persada muzik tempatan, kumpulan popular Drama Band bakal meraikan perjalanan seni mereka yang cemerlang selama 15 tahun menerusi sebuah acara istimewa, Konsert Drama 15 Tahun, yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2010 ini bukan sahaja dikenali dengan muzik yang ‘berbisa’, malah reputasi mereka turut diperkukuh dengan pencapaian signifikan dalam industri.
Antaranya, dinobatkan sebagai Naib Juara dalam pertandingan Hot FM Twisties Bingit, selain bergelar finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 dan ke-34 melalui lagu-lagu hit mereka, Biarkanlah dan Drama.

Drama Band juga sering dicalonkan dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dan Anugerah MeleTOP Era, membuktikan populariti dan pengaruh mereka yang sentiasa relevan.
Konsert Drama 15 Tahun, anjuran Aepul Roza Enterprise dengan sokongan rasmi daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures, dijadualkan berlangsung pada 31 Januari 2026 bertempat di RCD BIG Studio, Shah Alam.
Peminat boleh menjangkakan malam penuh energi kerana kumpulan yang dianggotai oleh enam ahli ini berjanji untuk menyajikan persembahan dengan elemen kejutan, termasuk penampilan istimewa dan aksi ‘hardest’ yang diyakini bakal membakar adrenalin penonton.
Vokalis Drama Band, Aepul Roza, berkata konsert ini adalah kemuncak kepada penat lelah mereka dan juga sebuah penghargaan buat penyokong setia.
“Konsert ini adalah sebuah konsert yang kami usahakan dari tahun 2010. Kita usahakan awal-awal sebagai cita-cita sahaja. Dan Insya-Allah, tak lama lagi ia akan menjadi kenyataan dan kita harap sangat sokongan daripada kamu semua.
“Insya-Allah, kita akan mula buka untuk jualan pada hari esok (11 Disember 2025) jam 3 petang, kemudian kita akan pergi daripada 20 lokasi dalam siri jelajah.
“Jadi, siapa yang nak dapatkan tiket, boleh dapatkan tiket ‘by hand’ kepada kita di tempat-tempat jelajah Drama 15 Tahun ini,” katanya.
Bagi mempromosikan konsert ini, Drama Band turut merancang siri jelajah promosi yang merangkumi 22 lokasi di seluruh negeri, dari utara hingga ke selatan tanah air.
Peminat juga berpeluang membeli tiket secara fizikal semasa siri jelajah tersebut.

Drama Band turut merakamkan penghargaan buat semua rakan media cetak dan elektronik yang telah menjadi tulang belakang sepanjang 15 tahun karier mereka.
Tiket konsert bermula dari harga RM58 hingga RM158 dan konsert ini dijangka boleh memuatkan seramai 2,500 orang penonton.
Jualan tiket akan mula dibuka pada 11 Disember 2025 pukul 3 petang, melalui platform rasmi www.ticket2u.com/drama15tahun.




