Ahmad Nazib Johari menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Universiti College MAIWP International, Dato Seri Prof.Dr. Noor Inayah Yaakub. Turut hadir Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal (dua dari kanan) bersama kepimpinan tertinggi DPDDM.
Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ahmad Nazib Johari atas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Pelantikan yang berkuat kuasa mulai 21 Januari lalu itu disifatkan sebagai satu manifestasi kepercayaan serta pengiktirafan kepimpinan tertinggi negara terhadap kewibawaan, integriti, serta kepakaran beliau dalam bidang pentadbiran dan perundangan.

Presiden DPDDM, Dato’ Nor Hasnal Hashmi, berkata organisasi itu berbangga dengan pencapaian Ahmad Nazib yang juga merupakan Penasihat Undang-Undang DPDDM yang banyak menyumbang khidmat nasihat strategik serta pandangan perundangan berimpak tinggi kepada dewan berkenaan.
“DPDDM merupakan ‘laluan jabatan emas’ kepada agensi kerajaan, berperanan sebagai platform strategik yang melahirkan tokoh berwibawa, profesional berintegriti, serta kepimpinan berkaliber tinggi untuk berkhidmat kepada negara.
“Kami mendoakan agar beliau terus dikurniakan taufik, hidayah, dan kebijaksanaan dalam menggalas amanah besar ini demi agama, bangsa, dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nor Hasnal memaklumkan DPDDM kini sedang merangka pelbagai program kerjasama dengan universiti tempatan dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, DPDDM juga dalam proses mengadakan kunjungan hormat ke Istana Raja Perak dan Negeri Sembilan, selain lawatan kerja rasmi ke pejabat Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak bagi memperkukuh jalinan hubungan strategik dengan kepimpinan negeri.
“Diharapkan melalui lawatan ini, hubungan dua hala antara DPDDM dengan kerajaan negeri dapat diperatkan lagi. Ia secara tidak langsung membuka ruang kepada agenda kerjasama yang lebih strategik dan mampan pada masa hadapan,” jelas beliau.

Tambahnya, langkah proaktif itu selaras dengan peranan DPDDM sebagai pemudah cara utama dalam ekosistem perniagaan negara bagi memastikan visi ahli bergerak seiring dengan keperluan pembangunan negeri.
“Kami sentiasa komited menjadi jambatan yang menghubungkan peluang ekonomi dengan aspirasi negeri secara berkesan,” katanya.




