Ikuti Kami:

DPDDM Teroka Pelaburan Hartanah, Logistik Bersama Jaringan Lebih 16,000 Koperasi ANGKASA

DPDDM Teroka Pelaburan Hartanah, Logistik Bersama Jaringan Lebih 16,000 Koperasi ANGKASA

Dewan Perniagaan Datuk-Datuk Malaysia (DPDDM) hari ini telah memulakan langkah strategik dalam memacu ekonomi rakyat dengan mengadakan lawatan kerja rasmi ke ibu pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Lawatan itu disambut oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, yang memimpin lebih 16,000 koperasi di seluruh negara.

Pertemuan penting ini menandakan kesediaan sektor korporat (DPDDM) untuk bekerjasama secara inklusif dengan sektor koperasi, sejajar dengan usaha kerajaan untuk memantapkan rangkaian ekonomi dan menyokong penuh agenda Ekonomi MADANI.

Intipati lawatan dua jam tersebut tertumpu kepada penerokaan peluang kolaborasi strategik yang berpotensi menjana nilai tinggi kepada ahli kedua-dua belah pihak.

DPDDM dan ANGKASA bersetuju untuk mengkaji dan meneroka peluang pelaburan bersama dalam bidang kritikal yang memiliki impak besar kepada pembangunan negara, termasuk pembangunan projek hartanah dan pembinaan, serta dalam sektor logistik dan pengedaran barang, dengan memanfaatkan jaringan luas koperasi di seluruh negara.

Presiden DPDDM, Dato Nor Hasnal Bin Hashmi menegaskan komitmen DPDDM untuk menyokong dasar kerajaan di bawah kerangka MADANI.

“DPDDM komited untuk menjadi jambatan yang menghubungkan kepakaran korporat dan sumber kewangan dengan jaringan luas koperasi di bawah ANGKASA.

“Kami bersedia menjadi rakan strategik utama ANGKASA dalam mempertingkat kapasiti usahawan, membantu memperluas jaringan perniagaan koperasi ke peringkat nasional dan antarabangsa, selari dengan kerangka yang diletakkan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, perbincangan turut meliputi penawaran pembiayaan alternatif melalui koperasi dan pembangunan platform latihan profesional untuk meningkatkan profesionalisme ahli koperasi.

Perbincangan juga menyentuh aspek pemerkasaan usahawan Bumiputera dan PMKS, pengukuhan koperasi sebagai enjin ekonomi rakyat, serta keperluan untuk segera menggunakan teknologi digital dan inovasi, seiring dengan seruan Perdana Menteri.

Kerjasama ini bertujuan memperkasa jaringan antara korporat dan koperasi sebagai pendekatan “people economy” yang lebih inklusif.

Seiring dengan gesaan Perdana Menteri mengenai integriti dan ketelusan, DPDDM dan ANGKASA mencapai persetujuan bahawa semua model kerjasama pada masa hadapan perlu berteraskan tadbir urus yang kukuh (Good Governance).

Setiap projek dicadangkan mengutamakan “value creation” berbanding “value extraction”, memastikan manfaat ekonomi mengalir kembali kepada ahli koperasi dan masyarakat secara keseluruhannya.

Lawatan kerja ini dijangka menjadi pemangkin kepada gerakan bersama dalam memperkukuh ekosistem ekonomi rakyat dan membuka lembaran baharu kerjasama perniagaan yang lebih progresif dan berimpak tinggi di Malaysia.

Komen
Loading...