DPDDM Komited Jadi ‘Jambatan Emas’ Hubungkan Peluang Ekonomi, Aspirasi Belia Borneo
- oleh MDaily Editor
- 11 Feb 2026 12:25 pm
Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) menyatakan komitmennya untuk berfungsi sebagai “jambatan emas” dalam menghubungkan peluang ekonomi strategik dengan aspirasi belia di Sabah dan Sarawak.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal berkata, peranan tersebut selaras dengan kedudukan dewan berkenaan sebagai pemudah cara utama dalam ekosistem perniagaan negara bagi memastikan visi ahli bergerak seiring dengan keperluan pembangunan negeri.
“DPDDM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan visi ahli kami bergerak seiring dengan keperluan pembangunan negeri. Kami komited menjadi penghubung yang menghubungkan peluang ekonomi dengan aspirasi negeri secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan kerja rasmi delegasi DPDDM bersama Koperasi Niaga Dinamik Berhad (KNDB) ke Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak) baru-baru ini.

Delegasi tersebut disambut oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak), Ahmad Nazib Johari, yang juga merupakan Penasihat Undang-Undang DPDDM.
Menurut Nor Hasnal, lawatan itu bertujuan memberi penerangan awal serta membincangkan cadangan Pemerkasaan Program Pembangunan Mahasiswa, khususnya bagi lepasan dan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari Sabah dan Sarawak.
Antara isu strategik yang diberi tumpuan termasuklah pemerkasaan literasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memberi kefahaman yang lebih jelas dan berfakta kepada mahasiswa mengenai hala tuju pembangunan wilayah berkenaan dalam kerangka integrasi nasional.
“Kami berharap usaha ini dapat merapatkan jurang maklumat keusahawanan, pendedahan dalam model perniagaan koperasi, serta membuka peluang ekonomi dan laluan kerjaya pasca graduasi bagi mahasiswa Borneo,” tambah beliau.

Sebagai kesinambungan, DPDDM dan KNDB merancang untuk menganjurkan ‘Borneo Dynamic Entrepreneur & Leadership Summit 2026’, sebuah platform berimpak tinggi yang menggabungkan elemen kepimpinan belia, dialog dasar, dan jaringan strategik antara mahasiswa, industri, serta kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Eastern International TVET College menegaskan bahawa kerjasama itu akan memperkukuhkan integrasi nasional serta membina ekosistem keusahawanan yang mampan di wilayah Borneo.
Bagi mengukuhkan lagi hubungan hingga ke peringkat antarabangsa, DPDDM turut mempelawa individu yang berminat untuk menyertai keahlian mereka dengan melayari laman web rasmi di https://dpddm-gov.com/.




