Ikuti Kami:

DPDDM, ISEIGUR Meterai MoU Perkasa Ekonomi Malaysia MADANI

DPDDM, ISEIGUR Meterai MoU Perkasa Ekonomi Malaysia MADANI

​Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem perniagaan tempatan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama jenama gaya hidup antarabangsa, ISEIGUR Malaysia.

​Kerjasama itu bertujuan memperkukuh jaringan korporat, pembangunan keusahawanan, serta pemerkasaan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

​Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi, berkata kolaborasi berkenaan dijangka membuka ruang kepada pelbagai peluang kerjasama berimpak tinggi, khususnya dalam memperluas jaringan korporat dan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif strategik bersama.

​”Melalui kerjasama ini, ia bakal membuka peluang dalam memperkasa ekosistem keusahawanan serta membantu DPDDM menjayakan misi dan visi kami di peringkat nasional dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis menandatangani MoU itu, di sini.

​ISEIGUR merupakan jenama antarabangsa dengan struktur pegangan yang kukuh merentasi Asia Tenggara, termasuk syarikat induk di British Virgin Islands (BVI) serta pusat operasi di Singapura, Malaysia, dan Indonesia.

​Di Singapura, jenama itu memiliki Sijil Penggunaan Tanda Dagangan yang membolehkan operasi sah di peringkat serantau, manakala Malaysia bertindak sebagai ibu pejabat operasi utama.

​Dalam pertemuan tersebut, Datuk Nor Hasnal turut mengadakan perbincangan mendalam mengenai pelbagai cabang perniagaan bersama wakil ISEIGUR, Encik Lington.

​Beliau menambah, pengiktirafan ISEIGUR dalam industri gaya hidup moden dan fesyen premium turut diperkukuhkan dengan penglibatan penyanyi tersohor, Shila Amzah, sebagai wajah serta model yang mewakili aspirasi jenama berkenaan.

​”Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong agenda kerajaan bagi memperkasakan bidang keusahawanan, integrasi nasional, dan kepimpinan yang mampan melalui pendekatan inklusif.

​”Keutamaan DPDDM kini adalah memperluas kapasiti keusahawanan di seluruh negara. Kami berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan, komuniti perniagaan, dan usahawan baharu,” katanya.

​Tambah beliau, DPDDM berhasrat melahirkan kelompok usahawan tempatan yang bukan sahaja berdaya tahan di pasaran domestik, malah bersedia menembusi pasaran antarabangsa selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI.

​Orang ramai yang berminat menyertai rangkaian DPDDM boleh melayari laman web rasmi di https://dpddm-gov.com/ untuk maklumat lanjut.

Loading...