Don Lee Tampil Dalam Filem Aksi Seram Korea, Holy Night: Demon Hunters Mulai 8 Mei Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Aktor aksi terkenal Korea Selatan, Don Lee, kembali mencuri perhatian apabila tampil dalam filem terbaharu berjudul Holy Night: Demon Hunters yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 8 Mei ini.
Filem yang menggabungkan elemen aksi dan seram mistik itu menandakan penyertaan pertama Don Lee dalam genre aksi-occult, sekali gus memperlihatkan sisi baharu pelakon yang popular menerusi filem Train to Busan dan The Outlaws itu.
Diarahkan oleh Lim Dae-hee dan diterbitkan bersama oleh Big Punch Pictures serta Nova Films, Holy Night: Demon Hunters membawa penonton menyusuri kisah sebuah bandar yang diganggu makhluk jahat dan pengikut kultus gelap.
Situasi menjadi semakin tidak terkawal apabila kuasa ghaib mengancam keselamatan orang awam, memaksa kewujudan satu pasukan khas dikenali sebagai “Holy Night”.
Pasukan tersebut diketuai oleh watak Ba-woo lakonan Don Lee, dibantu oleh Sharon (Seo Hyun), seorang pengusir syaitan, serta Kim Goon (David Lee), pakar teknologi yang melengkapkan trio pemburu iblis itu.
Kehadiran watak Jung-won (Gyeong Su-jin) yang meminta bantuan terhadap gangguan misteri yang menimpa adiknya, Eun-seo (Jung Zi-so), menjadi titik permulaan kepada misi mereka membongkar rahsia besar di sebalik ancaman ghaib itu.
Menurut Don Lee, filem ini memberikan pengalaman berbeza daripada watak-watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
“Bertarung dengan musuh yang dirasuk makhluk ghaib memberi cabaran baharu dan menjadikan aksi lebih kompleks serta menarik. Elemen fantasi dalam filem ini menjadikan setiap pertempuran lebih epik,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pengarah Lim Dae-hee pula menjelaskan bahawa beliau telah lama meminati dunia occult dan ingin menghasilkan filem yang menggabungkan unsur realiti dan mistik Timur-Barat secara seimbang.
Malah, setiap aspek produksi termasuk latar, prop dan rekaan watak turut diberi perhatian khusus bagi membangunkan dunia sinematik yang unik.
Filem berdurasi 92 minit itu bukan sahaja menjanjikan aksi padat dan mencabar, malah membawa penonton menghayati sisi spiritual yang jarang diterokai dalam sinema Korea.
Holy Night: Demon Hunters bakal menjadi pilihan menarik buat peminat filem aksi dan seram tempatan yang inginkan kelainan daripada karya tipikal. Tiket dijangka laris susulan sambutan awal yang memberangsangkan di negara asalnya.
Filem ini akan mula ditayangkan di seluruh pawagam utama bermula Khamis ini, 8 Mei 2025.