Ikuti Kami:

Dolla Batalkan Konsert Di Saat Akhir

Dolla Batalkan Konsert Di Saat Akhir

Konsert “Good Girls Gone Bad Live in concert” yang sepatutnya menampilkan persembahan penuh kumpulan Dolla pada 6 Disember ini terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan dan persiapan teknikal yang tidak memadai.

Penganjur, Sah Entertainment, dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas menilai beberapa aspek penting yang tidak dapat dipenuhi menjelang tarikh acara, termasuk keperluan teknikal, kelulusan venue dan tahap kesiapsiagaan keseluruhan.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan artis, kru, pasukan venue dan terutama sekali para peminat. Kami tidak mahu menyampaikan persembahan yang kurang daripada apa yang terbaik daripada Dolla,” kata Pengarah Sah Entertainment, Sufie Rashid.

Beliau menjelaskan, walaupun usaha telah dilakukan bagi memastikan konsert berjalan lancar, faktor masa menjadi kekangan utama sehingga menjejaskan persiapan akhir.

“Konsert bertaraf ini memerlukan standard yang tinggi dan proses rapi. Dengan masa yang ada, kami bimbang ia tidak dapat mencapai apa yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata pihaknya memahami kekecewaan peminat yang telah membuat persiapan awal untuk menghadiri konsert tersebut.

“Peminat boleh mendapatkan pemulangan wang penuh melalui kaedah asal pembayaran. Semua proses refund akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Pembatalan itu turut menimbulkan reaksi sedih dan kecewa dalam kalangan peminat yang telah menantikan persembahan sulung berskala besar Dolla untuk hujung tahun ini.

Namun, ramai memahami keputusan tersebut demi keselamatan dan kualiti produksi.

Pihak penganjur juga memohon maaf dan berterima kasih atas sokongan berterusan peminat, selain memberi bayangan bahawa peluang untuk menganjurkan konsert Dolla pada masa depan masih terbuka.

Komen
Loading...