Ikuti Kami:

‘Doktor’ Tawar Rawatan Gigi, Kecantikan Haram Di Instagram, TikTok Diserbu

‘Doktor’ Tawar Rawatan Gigi, Kecantikan Haram Di Instagram, TikTok Diserbu

KUALA LUMPUR: Serbuan kira-kira jam 1.10 petang hasil aduan awam itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Bahagian Kesihatan Pergigian dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bahkan, terdapat bilik khas yang ditetapkan dipercayai bagi pelanggan untuk mendapatkan rawatan gigi selain bilik berlainan bagi khidmat perubatan berkait kecantikan seperti memutihkan kulit serta suntikan botox.

Operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu telah menahan tiga warga tempatan termasuk seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun.

Pegawai Penguat Kuasa Pergigian, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Azfar Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan mereka di laman media sosial TikTok dan Instagram.

“Perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi khidmat sarung gigi (veneer) yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

“Selain itu, pusat kecantikan itu turut menawarkan rawatan perubatan estetik seperti ‘filler, ‘pico laser, ‘whitening drip’ dan lain-lain rawatan estetik yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia serta ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging (LCP) of Aesthetic Medical Practice oleh KKM,” katanya.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] kerana disyaki menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia,” ujarnya.

Tegas beliau, KKM menasihatkan orang awam untuk mendapatkan rawatan dari pengamal perubatan atau pengamal pergigian yang sah dan mempunyai kelayakan yang bersesuaian.

Sumber
Komen
Loading...