Dodol Warisan Cik Wan Kekal Jadi Pilihan Kerabat Diraja dan VVIP
- oleh MDaily Editor
- 3 Oct 2025 4:01 pm
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (duduk) berkenan untuk mengacau Dodol Warisan Cik Wan.
Dodol bukan sekadar juadah tradisional, malah menjadi simbol warisan yang terus hidup di Perlis melalui Rumah Dodol Warisan Cik Wan.
Dengan resipi turun-temurun sejak hampir 60 tahun lalu, dodol keluaran Mohamad Azwan bin Yahaya, atau lebih mesra dikenali sebagai Cik Wan, kekal menjadi pilihan pelanggan istimewa termasuk kerabat diraja dan golongan VVIP.
Resipi asli keluarga ini diwarisi daripada arwah bapa saudara beliau sebelum diturunkan kepada ibunya, Mak Mah Binti Long pada tahun 1981, dan seterusnya kepada Cik Wan sejak 2005 hingga kini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (baju hijau) berkenan melawat Rumah Dodol.

Kunjungan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed.
Keaslian ramuan yang menggunakan santan segar dan gula melaka tulen tanpa bahan pengawet menjadi rahsia keenakan dodolnya.
“Dodol ini istimewa kerana ia bukan sekadar makanan, tetapi warisan keluarga yang saya rasa bertanggungjawab untuk teruskan. Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan sehingga menjadi kegemaran kerabat diraja Perlis dan pelanggan VVIP dari negeri lain,” katanya.
Menyediakan dodol memerlukan masa antara enam hingga lapan jam bagi memastikan ia benar-benar masak, pekat dan tahan lama.
Walaupun lebih gemar menggunakan dapur kayu yang memberikan aroma harum, Cik Wan kini menggunakan dapur gas bagi memenuhi permintaan tempahan yang semakin meningkat.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan (kiri) turut mengambil bahagian mengacau dodol dalam satu program.
Dodol dihasilkan dalam pelbagai perisa iaitu asli, pulut hitam, dan durian, dengan dodol pulut hitam menjadi pilihan paling laris.
Dengan 10 orang pekerja tetap, Rumah Dodol Warisan mampu memasak sehingga lapan kawah pada musim cuti sekolah bagi menampung permintaan pelanggan.
Selain dijual di rumahnya di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis, dodol Cik Wan turut ditempah melalui WhatsApp dan dihantar ke seluruh negara. Ia mampu bertahan sehingga dua minggu jika disimpan dengan betul.
“Harapan saya ialah untuk melihat dodol warisan keluarga ini terus dikenali, bukan sahaja di Perlis dan Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Cik Wan bersama Puan Nurul Izzah binti Dato’ Seri Anwar (kiri).

Cik Wan (kiri) bersama Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Kanan).

Rumah Dodol Warisan Cik Wan beroperasi setiap hari sepanjang cuti sekolah, manakala pada minggu biasa ia dibuka dari Khamis hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 7 petang.
Untuk tempahan, orang ramai boleh menghubungi 017-5124776 (Cik Wan)




