“Doa Dan Kesihatan Hadiah Paling Bermakna” – Wawa Zainal
- oleh MDaily Editor
- 12 Mar 2026 11:10 pm
Meniti usia 34 tahun, pelakon dan usahawan berjaya, Wawa Zainal, menyifatkan kurniaan kesihatan dan kebahagiaan berkeluarga sebagai anugerah teragung yang dipinjamkan Allah SWT buat dirinya.
Pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin ini memilih untuk meraikan ulang tahun kelahirannya dalam suasana serba sederhana namun penuh keberkatan bersama 27 anak yatim dari Pusat Peribadi Mulia dan Pusat Pendidikan Dar Al’mustafa di Teratak Amandari Homestay, di sini, hari ini.

Menurut Wawa, pada tahap usianya sekarang, dia tidak lagi mengejar hadiah material, sebaliknya lebih mendambakan ketenangan dan keberkatan dalam setiap fasa kehidupannya.
“Alhamdulillah, hari ini bertambahlah usia Wawa kepada 34 tahun. Sejujurnya, Wawa sudah tidak ada benda yang nak diimpikan sangat pun sebab rasa semuanya Allah sudah beri.
“Apa yang Wawa doa setiap hari supaya Allah panjangkan rezeki dan pinjamkan kebahagiaan serta kesihatan yang baik ini selama-lamanya. Wawa rasa cukup sempurna apabila ada suami yang baik dan anak-anak yang baik,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah suaminya yang juga pelakon, Aeril Zafrel, serta pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun bersama suami, Tengku Fazli Tengku Yahya.
Bercerita mengenai impian peribadi, anak jati Lahad Datu, Sabah ini mengakui masih dalam proses memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Hadiah untuk diri sendiri? Wawa nak menjadi isteri yang baik untuk Aeril. Wawa sedar belum menjadi isteri yang sempurna dan masih belajar lagi untuk menjadi hamba Allah yang taat,” ujarnya merendah diri.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai permintaan suaminya yang mahu menambah cahaya mata sehingga enam orang, Wawa secara berseloroh menyatakan faktor usia menjadi kerisauan utamanya.
“Aeril memang cakap nak enam orang, dia suka anak kecil. Tapi memandangkan usia Wawa dah 30-an, Wawa risau juga… rasa macam dah tak layak ‘beranak’ sebenarnya. Kita pun dah tua, itu sajalah yang dirisaukan,” katanya sambil tertawa.

Meskipun mengecap kejayaan luar biasa dalam perniagaan sehingga berjaya menembusi pasaran rangkaian runcit Watson tahun ini, Wawa mengakui dia juga berdepan dilema ‘ibu bekerjaya’ terutamanya melibatkan kekangan masa bersama anak-anak.
“Kadang-kadang balik rumah jam 3 pagi baru sampai, anak sedar dan bangun naik ke bilik sebab rindu sangat. Ada masanya Wawa rasa ‘bestnya’ jadi suri rumah sebab boleh luangkan masa lama dengan anak-anak.
“Cabaran Wawa sekarang adalah masa dan tenaga. Kadang-kadang memang penat (drain), tapi kita tak boleh tunjuk depan staf sebab mereka lagi penat bekerja 24 jam untuk siapkan tempahan raya,” jelasnya lagi.
Sebagai tanda kesyukuran atas limpahan rezeki, Wawa dan Aeril komited untuk terus meningkatkan jumlah bayaran zakat perniagaan mereka setiap tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.
Foto Oleh: Papadin.




