Ikuti Kami:

DISTORTED Lancar ‘NEW MATERIAL’

DISTORTED Lancar ‘NEW MATERIAL’

Kumpulan genre-bending, DISTORTED, yang dianggotai Sino, Eneyeqay dan Balo, terus melakar langkah berani apabila melancarkan album debut yang dinantikan, NEW MATERIAL, sekali gus menandakan kemaraan mereka dari dunia underground ke arus perdana.

Album 16 lagu itu hadir sebagai eksperimen moden yang menyatukan tekstur elektronik, irama hip-hop bertenaga, unsur eksperimental serta emosi mentah yang menjadi identiti baharu kumpulan ini.

Balo, yang turut dikenali sebagai Iqie daripada kumpulan Insomniacks, menyifatkan projek tiga tahun itu sebagai karya paling peribadi hasil gabungan latar, pengaruh dan pengalaman berbeza mereka bertiga.

“Pendengar boleh menjangka satu nafas baharu. Ia perjalanan panjang sejak hari pertama, bekerja bersama ramai individu berbakat dan melihat setiap demo berubah menjadi lagu lengkap. Rasanya sangat surreal apabila album ini akhirnya dapat dilancarkan,” kata Sino.

Menampilkan dua lagu fokus, SHEESH dan BAYANGAN, album itu menggambarkan dua sisi ekstrem DISTORTED. “SHEESH” membawa bunyi elektronik berat dengan struktur tidak konvensional.

“Ini adalah identiti bunyi yang kami mahu pendengar terus kaitkan dengan DISTORTED. Proses kreatifnya pula sangat bebas, organik dan penuh eksperimen.”

“Killa Driz pula seorang yang sangat kreatif dan merupakan antara lyricist paling berbakat,” katanya.

Sementara itu, Eneyeqay mengetuai trek “BAYANGAN”, sebuah lagu melankolik dan introspektif yang menyentuh fasa melepaskan memori serta perasaan yang tersisa.

“Ia datang daripada ruang antara mengingati dan meneruskan hidup. Saya harap orang dapat melihat sebahagian kisah mereka sendiri dalam lagu ini,” katanya.

Keseluruhan album NEW MATERIAL membawa tema ketahanan, evolusi dan keengganan tunduk kepada sisi negatif kehidupan.

Ia mengangkat perjalanan tiga pemuzik muda yang membina identiti mereka dengan kejujuran, keberanian dan kreativiti tanpa batasan.

Bagi Sino, album ini merupakan sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

“Ia bermula sejak kami ditandatangani. Selepas bertahun-tahun jatuh bangun, akhirnya ia menjadi satu kenyataan yang lengkap,”

“Untuk seterusnya, kami hanya mahu terus berkarya. Nantikan,” tambah Sino.

Dengan pelancaran ini, DISTORTED berharap album tersebut diterima peminat dan membuka lebih banyak ruang untuk mereka meneroka muzik baharu.

NEW MATERIAL kini tersedia di semua platform penstriman utama bermula hari ini.

Komen
Loading...