Ikuti Kami:

Disney’s The Lion King Live in Concert Mendarat di Malaysia Jun ini

Disney’s The Lion King Live in Concert Mendarat di Malaysia Jun ini

Peminat filem animasi ikonik Disney, The Lion King, bakal merasai pengalaman sinematik luar biasa apabila konsert jelajah dunia, Disney’s The Lion King Live in Concert, disahkan bakal dipentaskan buat julung kalinya di Malaysia pada Jun depan.

​Dianjurkan oleh Milestone Production, persembahan unik ini akan menggabungkan tayangan filem penuh The Lion King (1994) pada skrin gergasi dengan iringan muzik skor pemenang Anugerah Akademi® hasil gubahan Hans Zimmer, yang akan dimainkan secara langsung oleh orkestra penuh.

​Kehebatan muzik ini akan dibawakan khas oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) Malaysia di bawah pimpinan Konduktor Residen, Encik Eric Lee.

Penonton bakal dibawa menyelusuri perjalanan Simba di savana Afrika melalui alunan muzik yang menggetarkan jiwa, termasuk karya legenda daripada Sir Elton John dan Tim Rice, serta susunan vokal Afrika oleh Lebo M.

Menurut wakil Milestone Production, penganjuran ini bertujuan untuk menyatukan pelbagai lapisan generasi melalui kuasa muzik dan penceritaan yang abadi.

​”Kami amat berbangga dapat membawakan ‘The Lion King Live in Concert’ buat kali pertama ke Malaysia. Ini bukan sekadar tayangan filem; ia adalah sebuah pengalaman imersif di mana penonton akan merasai setiap debaran dan emosi melalui alunan orkestra secara langsung,” jelas kenyataan rasmi penganjur.

​Pementasan ini dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu, 13 Jun 2026, dengan dua sesi persembahan iaitu pada jam 2:30 petang dan 8:00 malam.

​Lonjakan Industri Kreatif & Pelancongan
​Penganjuran konsert bertaraf dunia ini juga merupakan sebahagian daripada pengisian kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).

Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama hiburan langsung di rantau ini yang mampu menarik pelancong domestik mahupun antarabangsa.

​Sebagai Rakan Perbankan Rasmi, pemegang kad UOB di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, dan Vietnam berpeluang menikmati akses awal dan potongan harga sehingga 25 peratus (tertakluk kepada terma).

​Pra-jualan UOB Priority: 25 Mac 2026 (11:00 pagi) hingga 26 Mac 2026.
​Pra-jualan UOB (Semua Kad): 27 Mac 2026 hingga 31 Mac 2026.

​Jualan tiket kepada orang ramai akan dibuka bermula 1 April 2026, jam 11:00 pagi menerusi laman web rasmi penganjur. Harga tiket bermula dari RM168 sehingga RM638, tertakluk kepada yuran pemprosesan dan SST.

​Untuk maklumat lanjut mengenai pakej sekolah atau korporat, layari www.milestone-entertainment.com.

Loading...