Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! Gegarkan Kuala Lumpur Ogos Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 minit lalu

Buat julung kalinya, pengalaman muzikal interaktif Disney yang penuh warna-warni dan aksi akan menemui peminat cilik di Malaysia apabila Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! dipentaskan di Kuala Lumpur dari 29 Ogos hingga 1 September 2025.
Pertunjukan eksklusif ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia Tenggara yang merangkumi enam lokasi di lima negara iaitu Indonesia (Jakarta dan Bekasi), Singapura, Filipina (Manila), Thailand (Bangkok) dan Malaysia sebagai salah satu destinasi utama.
Lebih istimewa, persembahan ini menampilkan kemunculan watak kegemaran ramai seperti Mickey Mouse, Minnie Mouse, Ariel (The Little Mermaid), Puppy Dog Pals, serta dua kemunculan sulung iaitu Ginny dan Bitsy daripada SuperKitties dan Team Spidey dari Marvel’s Spidey and His Amazing Friends.
Menerusi gabungan nyanyian, tarian, visual 3D yang memukau dan aksi akrobatik mempersonakan, persembahan ini membawa penonton menyelami kisah Mickey Mouse yang merancang hari permainan di Clubhouse bersama rakan-rakannya.
Namun, cuaca hijau misteri mula menggugat keseronokan tersebut, sebelum Team Spidey tampil menyelamatkan hari dengan penuh aksi.
Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan termasuk “Hot Dog” daripada Mickey Mouse Clubhouse, “Oopsie Kitty” daripada SuperKitties, dan “Do the Spidey” daripada Marvel’s Spidey and His Amazing Friends.
Penerbit dari Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank berkata, pihaknya teruja untuk membawakan produksi istimewa ini ke rantau Asia Tenggara selepas mencipta kejayaan besar di Amerika Syarikat dan London.
“Kami yakin persembahan ini mampu mencetuskan kegembiraan dan keterujaan kepada kanak-kanak serta ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proactiv Entertainment, Nicolás Renna berkata, pihaknya berbangga dapat membawa hiburan keluarga bertaraf dunia ke Malaysia menerusi kerjasama bersama Disney dan rakan-rakan serantau.
“Pertunjukan ini bukan sahaja mencipta kenangan manis, tetapi juga menjadi cara terbaik meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.disney.asia/DisneyJrTour dan mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi Disney menggunakan tanda pagar #DisneyJrTour.