
Menyambung langkah berani dalam dunia seni suara, penyanyi muda berbakat dan juara Ceria Popstar Xtra 2022, Dinda Dania tampil dengan single terbaharu berjudul “Katana”.
Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi juga simbol kebangkitan Dinda sebagai seorang artis muda yang penuh semangat, matang dan tidak gentar menyuarakan kekuatan dirinya.
Dilancarkan di bawah label Rocketfuel Entertainment, “Katana” membawa mesej yang lantang dan berani – sebuah luahan tentang kekuatan dalaman seorang wanita yang tidak tunduk pada kekecewaan, bahkan bangkit dengan lebih tajam dan yakin.
“Bagi saya, ‘Katana’ bukan sekadar lagu – ia adalah satu kenyataan. Ia menggambarkan kebangkitan seorang wanita selepas dikhianati, yang memilih untuk berdiri semula dengan lebih kuat. Saya harap lagu ini beri semangat kepada semua wanita untuk percaya pada kekuatan diri mereka sendiri,” ujar Dinda.
Lagu ini ditulis oleh gandingan kreatif Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman, dan menampilkan susunan muzik moden dengan elemen sinematik yang dramatik, selari dengan tema kekuatan dan keteguhan yang ingin disampaikan.
Vokal Dinda yang penuh ekspresi menjadikan “Katana” sebagai karya yang menyentuh dan memberi inspirasi.
Walaupun menghadapi cabaran semasa sesi rakaman kerana keadaan kesihatan yang kurang baik, Dinda tetap berjaya menyiapkan rakaman dalam tempoh dua jam lebih.
“Saya tidak mahu biarkan cabaran kecil hentikan proses berkarya. Saya percaya, bila kita buat dengan hati, hasilnya akan sampai ke hati pendengar,” katanya.
Ini bukan kali pertama Dinda bekerjasama dengan ketiga-tiga komposer tersebut. Pengalaman dan keserasian yang sudah terbina menjadikan proses penghasilan lagu lebih lancar dan bermakna.
Kemunculan “Katana” memperlihatkan sisi baharu Dinda Dania – lebih berani, matang dan yakin sebagai seorang penyanyi muda yang sedang membina namanya.
Ia juga menjadi titik perubahan dalam arah muziknya, memperkukuh kedudukannya sebagai suara generasi baharu yang lantang, berprinsip dan tidak mudah dijatuhkan.
“Katana” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music. Lirik video rasmi pula bakal dilancarkan tidak lama lagi.