DIGNIFIED: The Faisal Cup Story Rentas Sukan, Angkat Kisah Anak Pelarian
- oleh MDaily Editor
- 4 Dec 2025 11:59 pm
Dokumentari perintis, DIGNIFIED: The Faisal Cup Story, muncul sebagai karya penting yang merentasi sempadan sukan dan kemanusiaan, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap impian dan ketabahan anak-anak pelarian di Malaysia.
Dokumentari yang diterbitkan oleh Signal Flare Productions Sdn Bhd ini bukan sekadar mengisahkan perjuangan sekumpulan anak muda pelarian yang mengimpikan untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebaliknya ia adalah kisah yang mendalam tentang identiti dan keinginan universal untuk diterima sebagai insan yang bermaruah.
Menariknya, filem ini menandakan debut pengarahan oleh Hazel Desmond, seorang penyampai berita berpengalaman lebih 15 tahun, yang membawa sensitiviti kewartawanan ke dalam pembikinan dokumentari.
Lensa beliau berjaya menangkap detik-detik rapuh dan emosi anak-anak muda ini tanpa sebarang sensasi, dengan sokongan Penerbit Eksekutif, Steve Chao, pengkarya yang pernah tercalon dua kali untuk Anugerah Emmy.

Pengarah, Hazel Desmond menekankan bahawa visi di sebalik DIGNIFIED adalah untuk melangkaui stereotaip ‘mangsa’.
“Tujuan kami bukan untuk tunjukkan mereka sebagai mangsa yang perlu dikasihani, Kami meraikan semangat mereka untuk terus bermimpi. Sukan adalah jalan untuk mereka bina semula siapa diri mereka dan mendapatkan semula rasa hormat diri.” katanya.
Dirakam sepanjang satu tahun, DIGNIFIED memaparkan perjalanan intim dua remaja pelarian Kurban Ali, anak pelarian Rohingya, dan Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin Myammar bersama guru dan jurulatih mereka, Jeremy Chin.
Kisah mereka membuktikan bahawa anak muda pelarian juga mampu mencipta kejayaan sekiranya diberi peluang oleh masyarakat. Dokumentari ini turut meraikan sisi ihsan rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan tangan dan membuka pintu.
Kewujudan DIGNIFIED: The Faisal Cup Story diperkukuhkan lagi dengan sokongan tokoh-tokoh penting seperti Miss Universe Malaysia 2011 dan aktivis kemanusiaan, Deborah Henry, selain penampilan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
Menurut data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), seramai 211,360 pelarian dan pencari suaka berada di Malaysia setakat Oktober 2025, termasuk lebih 64,000 kanak-kanak.
Dokumentari ini mengingatkan penonton bahawa di sebalik setiap angka itu, terdapat wajah dan impian kecil yang ingin didengari.




