Ikuti Kami:

Digelar ‘New Adele’ Generasi Z, Sienna Spiro Cetus Fenomena Dengan ‘Die On This Hill’

Digelar ‘New Adele’ Generasi Z, Sienna Spiro Cetus Fenomena Dengan ‘Die On This Hill’

Landskap muzik antarabangsa di Malaysia kini menyaksikan kebangkitan luar biasa bintang muda dari London, Sienna Spiro, yang mula mencetuskan fenomena menerusi single terbaharunya, “Die On This Hill”.

Penyanyi dan penulis lagu berusia 20 tahun itu kini menjadi sebutan peminat muzik tempatan sehingga digelar sebagai “New Adele” bagi Generasi Z, merujuk kepada kekuatan vokal soulful unik dan penceritaan liriknya yang jujur serta menyentuh emosi.

Kejayaan Spiro di pasaran Malaysia terbukti apabila lagu “Die On This Hill” terbitan Capitol Records melonjak pantas dalam carta penstriman utama, menduduki tangga ke-12 dalam Spotify Top 50 Malaysia dan ke-41 dalam carta Spotify Top 50 Global.

Populariti lagu balada tersebut turut mencetuskan gelombang tular di media sosial apabila ramai artis dan pempengaruh tempatan termasuk Yazmin Aziz, Julia Duclos, Elica Paujin, dan Cici berkongsi video gaya cover di platform Instagram serta TikTok.

Selain itu, penglibatan nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle yang berkongsi interpretasi kreatif terhadap lagu tersebut turut menguatkan lagi impak kehadiran Spiro dalam kalangan pendengar di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Menceritakan mengenai naskhah tersebut, Spiro menyifatkan “Die On This Hill” sebagai sebuah karya yang menterjemahkan kisah “cinta yang degil” iaitu perasaan mahu terus bertahan walaupun menyedari hakikat bahawa hubungan tersebut sudah tidak mampu diselamatkan.

Kualiti produksi lagu ini tidak perlu disangkal lagi apabila ia mendapat sentuhan barisan penerbit tersohor dunia seperti Omer Fedi (yang pernah bekerjasama dengan SZA dan Lil Nas X), Michael Pollack, dan Blake Slatkin. Ia turut diperkasakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah Grammy, Rob Moose.

Sebelum ini, bakat besar Spiro telah mula mendapat perhatian rakan artis antarabangsa seperti SZA, Mark Ronson, dan FINNEAS menerusi EP sulungnya, SINK NOW, SWIM LATER yang dilancarkan pada awal 2025.

Beliau juga telah melakar sejarah peribadi menerusi penampilan sulung di televisyen dalam rancangan The Late Show with Stephen Colbert serta beraksi sebagai artis pembuka tirai bagi siri residensi eksklusif Sam Smith di New York.

Komen
Loading...