Ikuti Kami:

‘Die On This Hill’ Tawan Carta Malaysia, Sienna Spiro Hargai Sokongan Peminat

‘Die On This Hill’ Tawan Carta Malaysia, Sienna Spiro Hargai Sokongan Peminat

Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruhnya dalam landskap muzik global apabila single “Die On This Hill” nyanyian bintang muda meningkat naik, Sienna Spiro, mencatat kedudukan No. 1 di Carta Harian Spotify Top 50 Malaysia.

Selain mendominasi platform penstriman audio, lagu berkenaan turut menjadi sohor kini (trending) di YouTube Malaysia, sekali gus mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan pendengar tempatan.

Kejayaan itu dipacu oleh gelombang sokongan padu daripada peminat dan artis tempatan yang menghasilkan versi lagu (cover) sendiri sehingga tular di media sosial.

Antara nama besar yang turut terjebak dalam fenomena ini termasuklah Ernie Zakri, Syamel, Diana Danielle, Nuha Bahrin, Elica Paujin dan Julia Duclos.

Keunikan vokal dan emosi yang disampaikan artis tempatan ini secara kolektif telah menyumbang kepada lebih 220 juta tontonan berkaitan lagu tersebut di aplikasi TikTok.

Menariknya, bakat besar kelahiran United Kingdom (UK) itu turut menyedari sokongan luar biasa dari Malaysia. Sienna dilihat meninggalkan komen “Love this” beserta emoji hati pada video cover milik Ernie Zakri dan Syamel, yang kemudiannya mengujakan rata-rata netizen.

Setakat ini, balada menyentuh hati itu telah mengumpul lebih 173 juta strim secara global. Selain Malaysia, lagu tersebut turut menduduki carta di 28 pasaran antarabangsa, termasuk meraih tempat ke-12 di Amerika Syarikat (AS) dan menduduki tangga ke-9 dalam Carta Single UK.

Meskipun baru berusia 20 tahun, Sienna Spiro telah membuktikan kematangannya dalam penulisan lagu yang bersifat sinematik dan soulful.

Beliau memulakan tahun 2026 dengan langkah kanan menerusi persembahan memukau di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon yang mendapat sorakan berdiri (standing ovation).

Sebelum ini, Sienna juga diberi kepercayaan menjadi artis pembuka bagi siri residensi Sam Smith, “To Be Free: New York City” pada penghujung 2025, selain menghiasi kulit majalah berprestij seperti Notion Magazine dan menerima pujian melambung daripada Rolling Stone.

Dengan momentum yang semakin kukuh, Sienna Spiro kini diangkat sebagai antara suara baharu paling berpengaruh bagi tahun 2026, manakala Malaysia kekal menjadi antara pasaran terkuat yang menyokong kerjaya seni beliau.

Loading...