Didie Shazry Harumkan Nama UPSI Di Pentas Raise The Star Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 12 Aug 2025 11:47 am

Foto Oleh: KOSMO.
Kejayaan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Didie Shazry, menjuarai program realiti nyanyian terbaharu Raise The Star Malaysia anjuran Astro telah mengharumkan nama universiti itu di persada seni tanah air.
Dalam konsert akhir yang berlangsung di Royale Theatre Shah Alam dan disiarkan secara langsung, Didie Shazry memikat hati juri serta penonton menerusi persembahan bertenaga dan kawalan vokal yang mantap.
Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sebuah trofi, serta peluang merakam single baharu ciptaan komposer terkenal, Aina Abdul, berjudul Peganglah Hati.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata pencapaian tersebut membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja unggul dalam akademik, malah memiliki bakat seni yang mampu bersaing di peringkat profesional.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, dedikasi, serta sokongan padu daripada pensyarah dan rakan-rakan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. Didie telah membuktikan bahawa pelajar UPSI mampu melangkah jauh dalam pelbagai bidang,” katanya.
Didie Shazry atau nama lengkapnya E.D.Shazry Aman, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), sebelum ini mencuri perhatian menerusi lagu Joget Jiwa Lara yang liriknya dihasilkan oleh pensyarah beliau, Dr. Azam Dungun, bersama rakan-rakan pelajar UPSI.
Pihak universiti yakin kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus mengejar impian dan membuktikan keupayaan pendidikan di UPSI dalam melahirkan graduan yang holistik, seimbang, dan berkualiti tinggi.