Didie Alias Nafi Cemburu Anna Jobling Jadi Juri Program Lawak – ‘Kita Ada Ramai Pelakon Komedi Wanita Seperti Otai Rosnah Mat Aris’
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu
Selebriti versatil, Didie Alias menafikan dirinya berasa cemburu bahkan tidak pernah menidakkan kelayakkan aktres jelita Anna Jobling dipilih sebagai juri sebuah program lawak.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 52, sebaliknya mempersoalkan tindakan stesen televisyen yang tidak mengutamakan artis komedi wanita yang lebih berpengalaman.
Ada saya cakap dia tidak layak? Tiada. Saya meletakkan diri saya sebagai seorang netizen ketika menulis komen tersebut.Ramai cakap saya dengki, hakikatnya tidak.
Tutur Didie lagi, dia melihat ramai pelawak wanita yang tidak diberikan peluang untuk menggalas tugas tersebut biarpun mempunyai ilmu dalam bidang komedi.
Mengikut kefahaman saya, semua itu untuk rating program tetapi tidak salah kalau gandingkan pelakon komedi wanita bertaraf ‘otai’ dan banyak pengalaman dengan barisan juri lain iaitu Saiful Apek serta Harith Iskander.
Banyak program sebelum ini hanya ketengahkan artis komedi lelaki tetapi wanita? Kita ada ramai yang bagus seperti Sharifah Shahirah, Raja Azura, Sheila Rusly dan Rosnah Mat Aris. Mereka semua ada ilmu.
Dalam pada itu, Didie turut berpesan kepada Anna untuk mempersiapkan diri dan tidak datang dengan ilmu kosong ketika menjurikan program berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Didie diumumkan sebagai hos malam kemuncak ABP36 bersama Haniff Hamzah dan Riena Diana pada 11 Oktober depan.