IKLAN

Didakwa langgar PKP, MB Terengganu tampil beri keterangan kepada polis

KUALA TERENGGANU, 19 April -- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kehadiran Ahmad Samsuri di balai tersebut turut dimuat naik di laman sosial Facebook Polis Terengganu dan beliau dikatakan tiba kira-kira 4 petang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik yang dihubungi Bernama berkata Ahmad Samsuri hadir untuk memberi keterangan berhubung gambar beliau bersama beberapa lelaki di rumah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

IKLAN

"Ahmad Samsuri telah datang ke IPK untuk memberi keterangan dan bekerjasama. Kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Pada Jumaat, tular di pelbagai platform media sosial gambar Ahmad Samsuri bersama beberapa lelaki dan beliau didakwa tidak melakukan penjarakan sosial seperti yang disarankan pihak kerajaan.

-- BERNAMA

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN