Diana Danielle Failkan Permohonan Cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
Pelakon Diana Danielle hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pagi ini untuk pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian daripada suaminya, Farid Kamil, pada jam 9 pagi.
Diana kelihatan tenang dan ceria, mengenakan jubah hitam bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Walaupun pada awalnya enggan memberi komen kepada lebih 30 wartawan yang menanti sejak awal pagi, emosi Diana tetap stabil sepanjang perjalanan ke bilik pendaftaran.
Beliau menyatakan bahawa segala keputusan kini diserahkan kepada mahkamah dan berharap untuk yang terbaik.
“Saya harap yang terbaik untuk kami. Tak perlulah panjang-panjang. Saya berserah, kerana kita hanya merancang dan selebihnya, kita tunggu apa yang berlaku di penghujungnya,” ujarnya.
Menurut Akberdin, permohonan perceraian ini dibuat susulan tiada persefahaman antara mereka.
“Boleh dikatakan mereka tiada persefahaman. Hari ini, kami hanya failkan dan akan dapatkan tarikh kemudiannya,” jelasnya.
Nama Diana dan Farid kembali menjadi perhatian selepas Diana mengumumkan hasrat untuk memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.
Namun, Farid masih berusaha untuk mempertahankan rumah tangga mereka dan menyayangi Diana serta anak-anak mereka.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana, yang juga dikenali sebagai Diana Danielle Danny Beeson, pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Alasan yang diberikan adalah tiada persefahaman, berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan, dan tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, tetapi mereka rujuk sebulan kemudian. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.