Ikuti Kami:

Diana Danielle Bertegas Mahu Berpisah: “Lepaskan Saya dan Jangan Zalimi Saya”

Diana Danielle Bertegas Mahu Berpisah: “Lepaskan Saya dan Jangan Zalimi Saya”

Pelakon terkenal, Diana Danielle, 32, sekali lagi menegaskan hasratnya untuk berpisah dengan suaminya, Pelakon dan Pengarah, Farid Kamil Zahari, 43, selepas usaha mencapai kata sepakat dalam proses perceraian mereka gagal.

Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid bertegas enggan melafazkan cerai terhadap Diana pada sebutan kedua kes perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

JKP terdiri daripada ahli keluarga terdekat yang bertanggungjawab menasihati serta mencari jalan penyelesaian bagi kemelut rumah tangga pasangan.

Dalam prosiding itu, Diana diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Farid diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

“Bagi saya, tindakan ini amat memualkan dan saya rasa dia tidak berpijak pada bumi yang nyata sebab dia berangan. Tak ada apa-apa yang nak kita selamatkan,” ujar Diana di luar mahkamah.

Menurut Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson,  usaha rujuk selama setahun sepatutnya menjadi peluang untuk memperbaiki hubungan, tetapi Farid dikatakan gagal menggunakan kesempatan tersebut.

“Dia patut faham ini adalah masa untuk dia lepaskan saya, tiada alasan dan tak ada percubaan. Lepaskan saya dan jangan zalimi saya,” tambahnya.

Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Kini, Diana tetap berpendirian bahawa perceraian adalah jalan terbaik untuk kebahagiaan mereka sekeluarga. Mahkamah akan terus memantau perkembangan proses ini sehingga kedua-dua pihak dapat mencapai penyelesaian.

Komen
Loading...