Ikuti Kami:

Diamond Jubilee Madness: Genting Tawar Hadiah RM300,000 Sempena Ulang Tahun ke-60

Diamond Jubilee Madness: Genting Tawar Hadiah RM300,000 Sempena Ulang Tahun ke-60

Resorts World Genting (RWG) akan menganjurkan kempen istimewa bertemakan Diamond Jubilee Madness sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 syarikat itu, yang akan berlangsung pada 30 Mei ini.

Kempen yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000 ini akan mencapai kemuncaknya menerusi acara Cabutan Hadiah Blind Box yang akan diadakan di Kimhua Atrium, SkyAvenue bermula 10 pagi hingga 10 malam, dengan pendaftaran dibuka seawal jam 9.30 pagi.

Menurut kenyataan RWG, kempen ini terbuka secara eksklusif kepada semua ahli Kad Ganjaran Genting (GRC), sama ada yang baharu mahupun sedia ada, sebagai penghargaan kepada pelanggan setia sempena enam dekad pengoperasian pusat peranginan tersebut.

“Lima pemenang bertuah bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, manakala enam lagi akan menerima petrol percuma selama setahun daripada Petron Genting,” menurut kenyataan itu.

Antara hadiah lain termasuk tiket masuk ke taman tema Genting SkyWorlds berserta barangan eksklusif, hadiah jenama premium seperti Pop Mart, baucar beli-belah New Era, pengalaman menjamu selera di restoran terkenal seperti Burger & Lobster, Harry Ramsden dan Five Guys, serta minuman percuma.

RWG menjelaskan bahawa penyertaan bagi ahli GRC baharu boleh dibuat dengan hanya mendaftar melalui aplikasi mudah alih RWG sepanjang Mei, manakala ahli sedia ada boleh menyertai dengan menebus peluang menerusi Genting Points (GP) yang diperoleh hasil perbelanjaan minimum RM100 di outlet terpilih.

“Setiap 2 GP melayakkan ahli untuk satu peluang penyertaan dan boleh ditebus sebanyak dua kali dalam tempoh 1 hingga 28 Mei. Pada hari terakhir kempen, satu peluang tambahan boleh ditebus dengan memotong 2 GP melalui aplikasi mudah alih,” kata kenyataan itu.

RWG turut memperkenalkan sistem keahlian baharu Genting Rewards yang kini berfungsi secara digital sepenuhnya tanpa keperluan kad fizikal.

Melalui sistem baharu ini, ahli boleh menggunakan kod QR GeM atau nombor telefon bimbit untuk mengumpul dan menebus mata ganjaran di seluruh resort, termasuk hotel, restoran dan tempat hiburan.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee, berkata kempen ini merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk menghargai pelanggan sempena ulang tahun ke-60 dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan.

“Kami mahu setiap ahli GRC merasai ganjaran daripada kesetiaan mereka dan merayakan detik bersejarah ini bersama kami,” katanya.

Orang ramai disaran hadir awal kerana hadiah adalah terhad dan penebusan adalah berdasarkan prinsip “siapa cepat, dia dapat.”

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan acara yang ditawarkan, layari laman web rasmi rwgenting.com atau ikuti saluran media sosial rasmi Resorts World Genting.

Komen
Loading...