Ikuti Kami:

“DiA Misha Omar” Tawan Mega Star Arena 29 November Ini

“DiA Misha Omar” Tawan Mega Star Arena 29 November Ini

Penyanyi terkenal, Misha Omar bakal mengadakan konsert berskala besar bertajuk “DiA Misha Omar” pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Pengumuman konsert ini dibuat selepas Misha melancarkan lagu baharunya Break, yang mendapat sambutan hangat daripada peminat. Ramai yang sudah menjangka sesuatu yang besar akan datang daripada penyanyi yang sudah lebih 20 tahun mewarnai dunia hiburan.

Menurut Misha, konsert ini adalah cara untuk menghargai semua yang telah menyokongnya selama ini. Ia bukan sambungan daripada persembahan sebelum ini, tetapi konsert khas yang meraikan perjalanan seninya sejak mula menyanyi pada tahun 2001.

“Saya tak pernah ada kelab peminat, tapi saya bertahan kerana lagu-lagu saya terus mendapat tempat di hati pendengar. Konsert ini bukan hanya tentang saya, tapi tentang semua yang sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya,” kata Misha.

Misha juga berharap konsert ini akan menjadi detik manis antara dia dan peminat yang membesar bersama lagu-lagunya seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan, dan kini Break.

Pengurus konsert dari Altus Prohouse, Miselyn Yee Siew, menjanjikan konsert yang berkualiti dan berbeza daripada persembahan Misha sebelum ini. Mereka akan tampilkan produksi pentas, muzik dan persembahan yang terbaik untuk memastikan peminat puas hati.

Tiket untuk menyaksikan “DiA Misha Omar” akan mula dijual pada 25 Julai 2025 jam 10 pagi di laman web https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar. Harga tiket bermula daripada RM288 hingga RM1,200.

Pembeli tiket VIP 1 akan dapat peluang bertemu Misha secara peribadi dan menyaksikan sesi latihan bunyi (soundcheck). Pembeli OKU boleh mendapatkan tiket menerusi WhatsApp di nombor +6011 1660 1122.

Konsert ini turut melibatkan nama-nama besar di belakang tabir seperti Jennifer Thompson sebagai penerbit konsert, Simon Khoo (pengarah teknikal), Datuk Syafinaz (pengarah vokal), Sze Wan (pengarah muzik), dan Hamzah Tahir (pengarah artistik).

“Saya mahu lihat, adakah peminat Masih Mempunyai Rasa Itu terhadap Misha Omar. Jika ya, datanglah ke konsert ini dan jadikan ia kenangan indah bersama saya,” ujar Misha.

Konsert ini dianjurkan oleh Double M Productions dan diuruskan oleh Altus Prohouse.

Komen
Loading...