Ikuti Kami:

‘Dia Bukan Syurga’: Drama Baharu Astro Bongkar Realiti Hubungan Toksik

‘Dia Bukan Syurga’: Drama Baharu Astro Bongkar Realiti Hubungan Toksik

Drama terbaharu terbitan Astro, Dia Bukan Syurga, bakal menemui penonton mulai 19 Mei ini, dengan mengetengahkan tema yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat iaitu hubungan toksik dalam institusi perkahwinan.

Drama bersiri sebanyak 32 episod ini akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam menerusi saluran Astro Ria (104).Naskhah ini merupakan adaptasi daripada novel karya pemenang anugerah, Rissa Ahdiya, dan diarahkan oleh pengarah prolifik tanah air, Rashid Sibir.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, drama berkenaan bukan sekadar sebuah karya hiburan, sebaliknya menyampaikan mesej mendalam mengenai isu penderaan emosi dan fizikal dalam perkahwinan.

“Dia Bukan Syurga membawa persoalan yang sering dihadapi wanita – adakah cinta semata-mata cukup untuk menjamin kebahagiaan dalam rumah tangga, atau adakah memilih pasangan dengan lebih bijak itu lebih utama. Ini adalah isu relevan yang jarang diberi penekanan dalam drama tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Mengangkat kisah Nuha (lakonan Ezzany Jasny), wanita penyayang yang mengimpikan perkahwinan bahagia, namun realitinya berubah apabila suaminya, Tajul (Niezam Zaidi), menunjukkan sikap panas baran dan mengawal kehidupan Nuha secara keterlaluan. Nuha akhirnya terperangkap dalam perkahwinan penuh penderaan emosi dan fizikal.

Kehadiran Arham (Nazim Othman), abang ipar Nuha yang prihatin, menjadi penyuluh harapan ketika Nuha bergelut antara terus bertahan atau membebaskan diri.

Kemuncak konflik berlaku apabila keganasan Tajul menyebabkan Nuha keguguran, sekali gus membuka matanya untuk meninggalkan perkahwinan yang memusnahkan jiwanya.

Selain mengetengahkan isu penderaan dalam rumah tangga, drama ini turut menonjolkan mesej pemerkasaan wanita, penyembuhan trauma dan nilai kasih sayang yang tulen. Runut bunyi rasmi drama ini, Dalam Sujudku, dinyanyikan oleh penyanyi dan pelakon popular Amira Othman.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini turut ditawarkan menerusi platform On Demand di Astro GO dan sooka. Penonton juga boleh melanggan Pek Astro One pada harga RM49.99 sebulan atau menikmati pakej penstriman bersama pelan jalur lebar Astro Fibre.

Maklumat lanjut mengenai langganan dan pelan boleh diperoleh di laman web rasmi www.astro.com.my atau menerusi WhatsApp ke talian 03-9543 3838.

Komen
Loading...