Ikuti Kami:

Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Kembali Bangkit Dengan Konsert Solo Pertama Di KL

Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Kembali Bangkit Dengan Konsert Solo Pertama Di KL

Selepas lebih sedekad mengharungi asam garam dunia seni dan cabaran peribadi, penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip, bakal melakar sejarah tersendiri dengan penganjuran konsert solo berskala besar pertamanya di Kuala Lumpur bertajuk Di Sebalik Aku: Hafiz Suip.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 1 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu bukan sahaja menandakan kepulangan Hafiz ke pentas utama, malah menjadi simbol kebangkitan selepas melalui fasa kehidupan yang penuh liku.

Dianjurkan oleh SAH Entertainment, konsert ini menjanjikan satu pengalaman emosional dan peribadi yang mengangkat kisah sebenar di sebalik figura Hafiz, perjalanan seorang insan yang pernah rebah dan kini bangkit semula dengan semangat baharu.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi penceritaan sebenar tentang siapa Hafiz hari ini. Ia adalah bentuk penghargaan kepada peminat yang kekal bersama walau dalam jatuh bangunnya,” ujar Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment.

Sufi berkata, konsert ini menjadi medan Hafiz untuk menzahirkan semula cinta dan semangat terhadap muzik, selain memberi inspirasi kepada ramai melalui lagu-lagu yang pernah mengangkat namanya seperti Awan Nano, Ombak Rindu dan Bahagiamu Deritaku.

“Hafiz memiliki katalog lagu hit yang sangat luas dalam usia muda. Setiap lagu membawa makna yang mendalam, bukan hanya kepada dirinya tetapi juga peminat yang membesar bersama muziknya,” tambah Sufi.

Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur turut memastikan harga tiket konsert kekal berpatutan dan mampu milik buat semua golongan peminat.

“Kami tetapkan harga tiket bermula serendah RM188 hingga RM788 dan walaupun kategori eksklusif disediakan, tiada harga melebihi RM1,000. Ini konsert untuk semua,” katanya.

Harga tiket konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip adalah antara RM188 hingga RM788, meliputi beberapa kategori tempat duduk yang dinamakan bersempena lagu-lagu ikonik Hafiz.

Jualan tiket pra-tempahan dibuka bermula 29 Julai jam 10 pagi, diikuti jualan umum yang bermula pada 12 tengah hari hari yang sama melalui platform Ticketmelon.

Sekurang-kurangnya 4,000 peminat dijangka membanjiri Mega Star Arena bagi menyaksikan malam penuh makna yang menggabungkan naratif kehidupan, vokal mantap dan persembahan istimewa daripada juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu.

Konsert ini juga akan menampilkan penyanyi jemputan khas yang masih dirahsiakan identitinya sebagai kejutan eksklusif buat penonton.

Di Sebalik Aku bukan sekadar sebuah konsert tetapi satu bab penting dalam perjalanan hidup Hafiz Suip, menceritakan bagaimana muzik menjadi cahaya dalam gelap dan pentas menjadi ruang untuk bangkit semula.

Komen
Loading...