‘Di Puncak Dunia’ Dedikasi BluntSheep Suntik Semangat Patriotik Generasi Muda
- oleh Mohd Indera
- 9 Sep 2025 11:56 pm

Kumpulan muzik muda tempatan, BluntSheep, tampil dengan karya segar menerusi pelancaran mini album pertama mereka berjudul Di Puncak Dunia.
Album yang memuatkan empat buah lagu iaitu Di Puncak Dunia, Lelah, Cinta Paling Hebat dan Hanya Dia mampu meniupkan iltizam baharu dalam jiwa anak muda serta mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.
Menurut vokalis BluntSheep, Rumnan, lagu utama dalam album itu, Di Puncak Dunia, merupakan dedikasi khas buat Malaysia.
“Lagu ini sangat berkait dengan Malaysia. Kami hasilkan lagu ini untuk meningkatkan patriotisme dalam kalangan rakyat. Dengan bakat yang kami ada sebagai sebuah band, kami ingin menyampaikannya melalui lagu Di Puncak Dunia,” katanya semasa sidang media dan majlis perlancaran di DrumAsia Hartamas, di sini, pada Isnin.
“Mesej yang kami ingin sampaikan melalui lagu ini ialah supaya rakyat Malaysia dapat melihat bakat-bakat tempatan serta menghargai tokoh-tokoh negara terdahulu. Muzik video lagu ini sudah boleh ditonton di platform YouTube kami. Inilah cara kami menzahirkan rasa cinta kepada negara,” jelasnya.
Rumnan menambah, mereka berharap album ini dapat membuka peluang lebih luas untuk dikenali ramai.
“Kami berharap nama BluntSheep semakin dikenali. Dengan adanya sokongan media serta acara seperti sidang media ini, lebih ramai orang dapat melihat bakat kami. Mudah-mudahan, ia membuatkan mereka tergerak hati untuk mendengar, menstrim, dan menyokong lagu-lagu kami,” katanya.
Sebagai tanda patriotisme, BluntSheep tampil dengan kelainan apabila menukar warna gitar mereka kepada Jalur Gemilang, simbolik semangat cinta negara yang ingin dikongsi bersama peminat.
Pelancaran tersebut turut menerima sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures, sebuah inisiatif di bawah dasar Kerajaan Madani yang berperanan merancakkan industri kreatif serta memperkukuh kedudukan bakat tempatan di peringkat antarabangsa.
Turut hadir pada majlis pelancaran ialah wakil Padu Records, Harry Apak atau lebih dikenali sebagai Harry Khalifah, serta wakil daripada MyCreative Ventures yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha kumpulan ini.
BluntSheep dianggotai oleh anak muda berusia 18 tahun iaitu Aifa Rumnan selaku vokalis, Umar Naufal di posisi gitar dan Moses Dass sebagai pemain dram.
Posisi pemain bass kini digalas Jayden yang mengambil alih sementara tempat Dzaff, yang direhatkan buat seketika, manakala Ariff Azmi turut menguatkan barisan sebagai gitaris kedua.
Album Di Puncak Dunia kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama.