DFP: Jaclyn Victor, Kunto Aji, Lea Salonga, Shila Amzah, Alena Murang, Madu Tiga Bakal Meriahkan Musim 2026
- oleh MDaily Editor
- 13 Oct 2025 12:40 pm

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) melangkah penuh bergaya ke musim konsert ke-28 tahun 2026 dengan barisan artis hebat tempatan dan antarabangsa termasuk Jaclyn Victor, Kunto Aji, Lea Salonga, Shila Amzah, Alena Murang.
Dengan tema Where Every Beat Tells A Story, musim ini menampilkan pelbagai genre muzik dari klasik, rock, jazz hingga warisan budaya tempatan, menawarkan pengalaman muzik yang menghibur, menginspirasikan dan menyentuh emosi khalayak.
Musim baharu ini diterajui oleh Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami yang bakal memimpin sembilan konsert bertema seperti A Chorale Spectacular, Memoirs of a Floral Fantasy, An Evening of Verdi, Arctic Winds and Summer Sun dan Jazz, Classical & Beyond With The MPO.
Perjalanan musim akan bermula dengan persembahan Cirque de la Symphonie pada Januari, sebuah gabungan unik antara aksi sarkas dan muzik orkestra di bawah pimpinan Tengku Irfan.
MPO turut mempersembahkan tayangan filem diiringi muzik secara langsung termasuk Amadeus dan Madu Tiga pada Januari, Harry Potter And The Prisoner of Azkaban (April) serta Star Wars – A New Hope (Mei).
Menyerlahkan kepelbagaian, MPO turut menampilkan konsert Glazunov: The Seasons In Symphony, Metropolitan Rhythms: The Émigré And The American dan Mozart’s 270th Birthday.
Persembahan ‘classical-crossover’ pula bakal mempertemukan MPO dengan pemain biola dan vokalis Charles Yang serta pianis Peter Dugan dan Frank Dupree.
Menariknya, konduktor Brent Havens akan kembali dengan konsert The Music of Queen pada Oktober, menggabungkan elemen klasik dan rock yang membangkitkan nostalgia terhadap muzik legenda Freddie Mercury.
Turut mencuri perhatian, konduktor Ahmad Muriz Che Rose akan mengemudi dua konsert ‘tribute’ istimewa memperingati Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini (Jun) dan mendiang Alfonso Soliano (September).
Aziz Shokhakimov
Musim 2026 turut menyaksikan kemunculan artis antarabangsa dan tempatan seperti konduktor Aziz Shokhakimov, pianis Yukine Kuroki, pemain cello Santiago Canon-Valencia, pemain biola Elias David Moncado serta artis serba boleh tempatan Belle Sisoski.
Pemain sape terkenal Alena Murang bakal kembali memukau penonton, manakala Lea Salonga akan tampil buat pertama kali di DFP dalam persembahan istimewa bersama adiknya, Konduktor Residen MPO, Gerard Salonga dalam program Broadway and Disney Celebration pada September.
Peminat muzik tempatan pula bakal menikmati persembahan Jaclyn Victor yang meraikan dua dekad perjalanan kariernya bersama MPO pada Oktober, diikuti konsert Simfoni Mantra oleh penyanyi Indonesia, Kunto Aji pada November.
Sementara itu, Shila Amzah akan meraikan ulang tahun ke-25 dalam industri muzik pada Mei dengan konsert istimewa yang menampilkan pelbagai genre dan bahasa, diiringi band pengiringnya sendiri.
Norzizi Zulkifli
DFP turut meneruskan komitmen terhadap seni budaya melalui persembahan teater Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors – An Adaptation arahan Norzizi Zulkifli pada Julai serta persembahan tarian Yin & Yang: A Dance Kaleidoscope oleh ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre pada September.
Pakej konsert untuk musim 2026 telah dilancarkan untuk keahlian Friends of DFP/MPO pada 4 Oktober 2025, manakala tiket untuk orang ramai mula dijual pada 13 Oktober 2025.
Maklumat lanjut dan brosur digital musim 2026 boleh dimuat turun di mpo.com.mymdan dfp.com.my, atau hubungi Box Office di talian 03-2331 7007 / e-mel [email protected]