Ikuti Kami:

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia Rapat Hubungan Strategik dengan Melaka, Bawa Agenda Pelaburan & Pemerkasaan Usahawan

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia Rapat Hubungan Strategik dengan Melaka, Bawa Agenda Pelaburan & Pemerkasaan Usahawan

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) mempamerkan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama strategik antara sektor perniagaan nasional dan kepimpinan negeri Melaka melalui lawatan kerja rasmi ke Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.

Lawatan berprestij yang berlangsung dalam suasana profesional dan tertib itu adalah inisiatif DPDDM untuk terus menyokong agenda pembangunan ekonomi Melaka serta memperluas jaringan kerjasama antara komuniti korporat dan pentadbiran negeri.

Delegasi rasmi DPDDM, yang turut disertai oleh Penasihat DPDDM, Cik Nur Shafiqah Bt. Noor Azmi, Timbalan Presiden DPDDM, Datuk Sazelan Arbi Bashah, Setiausaha Kehormat DPDDM, Datin Ezy Ezlyana Ostman, Bendahari DPDDM, Datuk Md Isa Abdul Rashid dan Strategi Pemasaran DPDDM, Zainal Yusof telah mengadakan perbincangan mendalam bersama TYT, menyentuh isu-isu penting termasuk pengukuhan hubungan strategik, penerokaan peluang pelaburan baharu yang selari dengan aspirasi negeri, serta inisiatif pemerkasaan usahawan tempatan.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Bin Hashmi, berkata lawatan itu adalah sebahagian daripada strategi DPDDM untuk bertindak sebagai pemudah cara utama dalam ekosistem perniagaan negara.

“Lawatan ini amat penting bagi kami untuk merapatkan jurang dan memastikan visi ahli DPDDM selari dengan keperluan pembangunan ekonomi Melaka.

“Kami berazam untuk menjadi jambatan yang kukuh, bukan sahaja menyediakan akses kepada peluang ekonomi bagi ahli, malah menyokong aspirasi negeri melalui rangkaian perniagaan yang berdaya saing,” katanya.

Datuk Nor Hasnal turut mengesahkan bahawa DPDDM telah mengemukakan dua permohonan utama kepada Tuan Yang Terutama sepanjang pertemuan tersebut.

“Kami memohon agar TYT mempertimbangkan pemberian Kuota Khas bagi pencalonan Darjah Kebesaran Negeri Melaka untuk ahli DPDDM yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan negeri.

“Permohonan ini bertujuan memastikan proses pencalonan lebih teratur dan selaras dengan struktur kepimpinan DPDDM,” jelasnya.

Selain itu, DPDDM turut menyampaikan Jemputan Rasmi kepada TYT untuk hadir ke Majlis Makan Malam Jalinan Mesra yang dijangka menghimpunkan tokoh-tokoh korporat dan pemimpin elit negara yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam pula menyarankan agar Majlis Makan Malam Jalinan Mesra yang dicadangkan oleh DPDDM itu diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur bersama Tan Sri Dato’ Seri Syed Mohd Yusof bin Tun Dato’ Syed Nasir atau di kenali sebagai Tan Sri Jojo.

Saranan tersebut disambut baik oleh DPDDM sebagai simbol pengukuhan hubungan akrab.

DPDDM bertekad, lawatan kerja ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi turut membuka lembaran baharu kerjasama yang lebih kukuh antara DPDDM dan Negeri Melaka di masa hadapan.

Komen
Loading...