Dewa 19 Bawa Tiga Vokalis, Padi Reborn ke Axiata Arena Jun Ini
- oleh MDaily Editor
- 22 Feb 2026 8:51 pm
Kumpulan rock Indonesia, Dewa 19, bakal melakar sejarah baharu di bumi Malaysia apabila dijadualkan menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil menerusi konsert berskala besar, Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia pada 6 Jun 2026.
Lebih istimewa, konsert anjuran Icon Entertainment ini bukan sekadar persembahan biasa, malah buat julung kalinya bakal menyatukan dua gergasi muzik Indonesia di atas satu pentas dengan kehadiran band Padi Reborn sebagai penampilan khas.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, pemilihan judul konsert itu adalah simbolik kepada hubungan akrab Dewa 19 dengan peminat di Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu sejak awal kemunculan mereka.
“Malaysia mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati Dewa 19. Ada cinta yang sentiasa tertinggal di sini sejak mereka mula menembus pasaran tempatan.
“Selepas perbincangan, kami sepakat menamakan konsert ini sebagai bukti rindu Dewa 19 kepada Baladewa (peminat setia) di sini,” katanya dalam satu sidang media.

Konsert ini bakal menyaksikan kekuatan vokal tiga penyanyi utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha, dan Marcello Tahitoe (Ello), selain kemunculan semula pemain dram legenda, Tyo Nugros.
Kehadiran Padi Reborn yang cukup dikenali dengan lagu hit seperti Kasih Tak Sampai dan Begitu Indah dijangka akan menghangatkan lagi suasana, sekali gus menyaksikan pertemuan dua komuniti peminat besar iaitu Baladewa dan Sobat Padi.
“Kami berjaya menyatukan dua band gergasi ini untuk menebarkan satu rasa dan cinta yang sama. Ia akan menjadi lokasi pertemuan yang sangat signifikan bagi peminat kedua-dua kumpulan,” tambah Iman.
Menariknya, penganjur turut menetapkan tema pakaian yang santai namun bermakna iaitu ‘T-Shirt Band Original’. Peminat digalakkan menyarung koleksi baju rasmi Dewa 19 mahupun Padi Reborn bagi menunjukkan solidariti dan jati diri sebagai peminat sejati.
“Konsepnya jelas, kita mahu penuhi Axiata Arena dengan cinta menerusi rangkaian hit ikonik mereka dalam suasana yang ‘pure’ dan bertenaga,” ujarnya lagi.

Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan momen bersejarah ini, tiket akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, bermula jam 11 pagi menerusi laman web www.ticket2u.com.my/dewa19 dengan harga bermula RM236 hingga RM488.
Kali terakhir Dewa 19 bertemu peminat di Malaysia adalah pada September 2023 menerusi siri konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra – Chapter 5 yang berlangsung di lokasi yang sama.




