Dermags International Rai Ulang Tahun Ke-3, Sasar Tembus Pasaran Global 2026
- oleh MDaily Editor
- 25 Oct 2025 2:03 pm
Malam Gala Dinner Dermags International 2025 turut menawarkan cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta Mercedes-Benz.
Syarikat kecantikan dan penjagaan kulit tempatan, The Dermags International, meraikan ulang tahun ketiganya dengan penuh gemilang menerusi Malam Gala Dinner Dermags International 2025 yang berlangsung di Setapak malam tadi.
Majlis bertemakan “Glamorous” itu dihadiri lebih 600 ahli dan pemimpin jualan daripada seluruh negara, sekali gus menandakan pencapaian luar biasa syarikat berasaskan penyelidikan ini yang semakin kukuh di pasaran tempatan dan kini bersedia melangkah ke peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif The Dermags International, Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid, berkata majlis tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan dan kejayaan para ahli serta pemimpin yang mencapai prestasi terbaik sepanjang tahun ini.
“Alhamdulillah, malam ini kita meraikan lebih 600 ahli yang banyak menyumbang kepada kejayaan Dermags. Untuk kategori top income, jumlah keseluruhan melebihi RM10 juta setahun, dengan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif The Dermags International, Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid (Kanan) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Dermags International, Dr. Wan Rosli Wan Sulaiman (kiri).
Menurut Dr. Mariani, kejayaan syarikat bukan hanya diukur melalui angka jualan, tetapi juga melalui keupayaan ahli menjana pendapatan stabil dan mengubah kehidupan masing-masing.
“Ramai ahli kita berjaya memiliki kereta, rumah banglo, menunaikan umrah, dan menerima ganjaran seperti motosikal, komputer riba, telefon pintar serta lebih 200 keping jongkong emas. Semua ini hasil kerja keras dan fokus mereka dalam perniagaan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan utama Dermags terletak pada produk berkualiti tinggi yang dibangunkan melalui penyelidikan rapi bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Produk kami berasaskan kajian saintifik yang lengkap daripada in vitro, pre-clinical hingga clinical study. Ia bukan sekadar produk komersial, tetapi hasil inovasi tempatan yang mempunyai patent dan bukti keberkesanan,” katanya.
Dalam majlis sama, Dermags turut memperkenalkan produk baharu Slim Tox, formulasi khas untuk membantu proses detox secara semula jadi, hasil penyelidikan di makmal R&D syarikat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Dermags International, Dr. Wan Rosli Wan Sulaiman, mendedahkan syarikat kini mencatat peningkatan jualan mendadak kepada hampir RM10 juta tahun ini, dan menyasarkan penembusan pasaran antarabangsa menjelang 2026.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Dermags International, Dr. Wan Rosli Wan Sulaiman.
“Tahun depan kami akan mula meneroka pasaran luar termasuk India, Indonesia, Filipina dan Afrika Selatan. Kami yakin fasa globalisasi ini akan melonjakkan jualan syarikat sehingga RM200 juta dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Beliau menjelaskan, strategi pertumbuhan luar negara akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelestarian operasi dan perlindungan hak intelektual syarikat di setiap pasaran baharu.
“Kami mahu pastikan segala langkah diatur dengan teliti kerana setiap negara mempunyai cabaran dan peluang tersendiri. Fokus kami adalah membantu lebih ramai usahawan kecil menjana pendapatan melalui platform Dermags,” jelasnya.

Malam Gala Dinner Dermags International 2025 turut meraikan Top Income Leader.
Sejak ditubuhkan, Dermags telah menerima lebih 50 anugerah berprestij termasuk Anugerah Akademik Negara daripada Kementerian Pengajian Tinggi, menjadikan jenama ini antara syarikat tempatan yang berjaya menggabungkan kekuatan sains, inovasi dan keusahawanan.
Dengan lebih 40,000 pengedar aktif di seluruh negara dan sasaran meningkat kepada 120,000 tahun depan, Dermags International terus mengorak langkah sebagai jenama kecantikan Malaysia yang berpotensi menembusi pasaran global.




