Ikuti Kami:

Dendam Lama Punca Wanita Simbah Air Panas Terhadap OKU – Polis

Dendam Lama Punca Wanita Simbah Air Panas Terhadap OKU – Polis

GEORGETOWN: Perselisihan faham lama dipercayai menjadi punca seorang wanita menyimbah lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down dengan air panas dalam kejadian dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata siasatan awal, mendapati perselisihan faham yang disifatkan agak sensitif itu telah tercetus antara suspek dan mangsa sekitar tiga atau empat tahun lalu.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan ke atas wanita terbabit dan siasatan awal mendapati punca adalah disebabkan perselisihan faham terhadap mangsa yang telah berlaku dalam tiga ke empat tahun lalu, saya rasa dia (suspek) kenal mukalah sebab tinggal di flat sama.

“Setakat ini kita telah merakam percakapan tiga individu termasuk mangsa dan siasatan masih diteruskan kalau selesai kita akan tuduh awal jika tidak, kita sambung reman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, pihaknya turut mempertimbangkan untuk menghantar suspek bagi menjalani pemantauan kesihatan untuk pemerhatian dan pengesahan laporan perubatan dan siasatan setakat ini mendapati wanita itu bukan pesakit mental.

“Setakat ini kita tengok tiada (rekod pesakit mental) Insya-Allah kita akan majukan untuk kita dapatkan rawatan lanjut terhadap suspek jika suspek mempunyai masalah mental di hospital.

Media pada Sabtu lalu, melaporkan seorang pembantu jualan berusia 39 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kejadian menyimbah air panas terhadap pemuda OKU berusia 33 tahun.

Terdahulu, kejadian yang berlaku pada jam 9.20 pagi Jumaat menyebabkan mangsa melecur di bahagian depan dan belakang badan serta masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sebelum ini, Pengarah HPP Dr Goh Hin Kwang berkata, mangsa mengalami kecederaan melecur meliputi enam peratus daripada permukaan kulitnya dengan tempoh pemulihan dijangka kira-kira dua minggu

Beliau berkata, daripada segi klinikal, punca kecederaan disebabkan air panas dan mangsa kini ditempatkan di Unit Perawatan Kebakaran HPP.

Sumber
Komen
Loading...