Demon Slayer Live Concert Gegar Kuala Lumpur Disember Ini
- oleh MDaily Editor
- 25 Oct 2025 5:31 pm
Peminat siri anime popular Jepun, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba, bakal menikmati pengalaman istimewa apabila konsert rasmi francais terkenal itu akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 27 Disember 2025.
Konsert bertemakan Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – Tanjiro Kamado, Unwavering Resolve Arc itu akan menampilkan persembahan band 18 anggota yang memainkan runut bunyi ikonik siri berkenaan secara langsung, diiringi paparan visual adegan utama di skrin gergasi.
Dianjurkan oleh GEA Live dan RoadCo Entertainment, dengan kerjasama Aniplex of America, konsert berkenaan menjanjikan gabungan muzik, naratif dan visual sinematik yang membawa penonton menyelami dunia Demon Slayer dalam suasana penuh emosi.
Menurut penganjur, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba In Concert bukan sekadar acara muzik, sebaliknya sebuah persembahan imersif yang menghidupkan semula keindahan dan kekuatan emosi watak utamanya, Tanjiro Kamado.

Sejak dilancarkan, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba telah mencetuskan fenomena global serta muncul sebagai anime paling banyak ditonton di platform penstriman bagi separuh pertama tahun 2023.
Siri ini turut memenangi pelbagai anugerah antaranya Animation of the Year di Tokyo Anime Awards, Anime of the Year di Crunchyroll Anime Awards, dan Animation of the Decade oleh Funimation.
Konsert ini dijangka menarik ribuan peminat dari seluruh rantau Asia Tenggara yang ingin merasai pengalaman muzikal dan visual luar biasa yang meraikan semangat perjuangan watak-watak dalam Demon Slayer.
Tiket konsert akan mula dijual pada 29 Oktober 2025 jam 10 pagi menerusi laman web rasmi www.demonslayerinconcert.com. dengan harga tiket bermula daripada RM268 hingga RM1,056 tidak termasuk caj tempahan.




