Demon Slayer: Infinity Castle Ditayangkan di Malaysia Ogos Ini!
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Peminat Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba di Malaysia kini boleh bersiap sedia untuk menyaksikan pertarungan epik yang dinanti-nantikan! Filem pertama dalam trilogi epik, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle, bakal menemui penonton di Malaysia pada 14 Ogos 2025.
Filem ini, yang dihasilkan oleh studio animasi terkenal ufotable, akan membawa penonton ke babak akhir perjuangan Tanjiro Kamado dan pasukan Demon Slayer Corps dalam menghadapi raja syaitan, Muzan Kibutsuji.
Tayangan di Malaysia turut seiring dengan negara jiran seperti Singapura dan Pakistan, manakala tayangan di Indonesia, Vietnam, dan beberapa negara lain menyusul pada 15 Ogos.
Demon Slayer: Infinity Castle membawa kisah Tanjiro dan rakan-rakannya—Zenitsu Agatsuma dan Inosuke Hashibira—bersama para Hashira dalam pertempuran terakhir menentang Muzan Kibutsuji.
Selepas sesi latihan Hashira yang intensif, pasukan Demon Slayer Corps berdepan dengan cabaran paling getir apabila mereka terperangkap dalam dimensi misteri Infinity Castle, kubu terakhir syaitan.
Dengan animasi memukau dan aksi mendebarkan, filem ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih epik berbanding siri sebelumnya.
Sejak kemunculannya pada 2019, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba telah menjadi fenomena global, dengan filem terdahulu Mugen Train mencatat rekod sebagai filem anime Jepun dengan kutipan tertinggi sepanjang masa, mengumpul lebih USD 500 juta di seluruh dunia.
Kini, dengan kemunculan Infinity Castle, peminat boleh menyaksikan sendiri kesudahan pertempuran antara manusia dan syaitan dalam skala yang lebih besar di layar perak.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara yang pertama menonton Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle di pawagam bermula 14 Ogos 2025!
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi: demonslayer-anime.com.