Ikuti Kami:

“Demi Lencana Di Dada” Hujan Semarakan Semangat Bola Sepak Negara

“Demi Lencana Di Dada” Hujan Semarakan Semangat Bola Sepak Negara

Semangat bola sepak negara disemarakkan lagi dengan pelancaran lagu rasmi baharu skuad Harimau Malaya berjudul Demi Lencana Di Dada, hasil nyanyian kumpulan terkenal tanah air, Hujan, menerusi kerjasama erat Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Lagu ini bukan sekadar karya muzik, sebaliknya simbol semangat perjuangan, penyatuan dan patriotisme yang diangkat khusus untuk memberi dorongan kepada pemain serta penyokong Harimau Malaya di setiap perlawanan.

Vokalis Hujan, Noh Salleh, berkata mereka berasa bangga apabila diberi amanah untuk menyanyikan lagu rasmi pasukan kebangsaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua. Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi semangat yang mampu menyatukan seluruh negara di belakang Harimau Malaya,” katanya.

Demi Lencana Di Dada akan diperdengarkan buat julung kali pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena aksi persahabatan Malaysia menentang Singapura, sebelum dimainkan sekali lagi pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim, Johor ketika menentang Palestin.

Menurut Noh, rakaman lagu ini penuh cabaran kerana mereka mahu memastikan setiap bait lirik dan alunan melodi benar-benar menyampaikan roh perjuangan Harimau Malaya.

“Lagu ini adalah simbol pengorbanan, harapan dan kekuatan. Kami mahu ia membakar semangat pemain dan penyokong, baik di stadium mahupun di rumah,” ujarnya.

Selain mengangkat nilai perpaduan, lagu ini turut diyakini menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan prestasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Harapan kami bola sepak Malaysia terus melakar sejarah membanggakan, bukan sahaja dengan kemenangan tetapi juga dengan semangat menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa,” tambah Noh.

Sebagai rekod, ini merupakan lagu rasmi pertama skuad kebangsaan yang diusahakan bersama oleh WMM dan FAM dan boleh mula distrim di semua platform digital pada 5 September, manakala lirik video rasmi turut dimuat naik di saluran YouTube WMM.

Komen
Loading...