Ikuti Kami:

Delegasi Malaysia Dalam Misi Kemanusiaan Gaza Selamat Tiba Di Istanbul

Delegasi Malaysia Dalam Misi Kemanusiaan Gaza Selamat Tiba Di Istanbul

Seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Istanbul, Türkiye petang ini selepas berlepas dari Eilat, Israel.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan tersebut menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 pada jam 1.40 petang waktu tempatan dan mendarat di Lapangan Terbang Istanbul pada jam 3.40 petang.

“Kesemua rakyat Malaysia dalam keadaan sihat dan akan berada sementara di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 atau 6 Oktober ini,” menurut kenyataan itu.

Ketibaan mereka di Istanbul turut disambut wakil kerajaan Türkiye yang memberi sokongan penuh terhadap misi kemanusiaan berkenaan.

Malaysia merakamkan penghargaan kepada Türkiye, Jordan, Mesir, Amerika Syarikat serta negara-negara ASEAN atas kerjasama erat memastikan keselamatan delegasi berkenaan.

Kementerian turut mengiktiraf peranan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai penggerak utama misi flotilla ini.

MAPIM dilihat memainkan peranan penting dalam menyatukan suara rakyat Malaysia, menggerakkan bantuan kemanusiaan serta menzahirkan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin.

Menurut kenyataan itu, meskipun flotilla tidak dapat menembusi Gaza, usaha yang digerakkan MAPIM bersama rakan antarabangsa berjaya meningkatkan kesedaran global mengenai sekatan haram Israel serta penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

“Malaysia kekal komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang kekejaman serta bencana kemanusiaan yang berlaku di Gaza,” jelas Wisma Putra.

Senarai penuh 23 rakyat Malaysia yang dibebaskan dan kini berada di Istanbul ialah:
1. Iylia Balqis binti Suhaimi
2. Ahmad Musa Al Nuwayri bin Kamaruzaman
3. Sul Aidil bin Sudi
4. Muhammad Muaz bin Zainal Abiddin
5. Muhammad Haikal bin Abdullah
6. Mohammad Zulfadhli bin Khiruddin
7. Mohd Rusydi bin Ramli
8. Danish Nazran bin Murad
9. Nurfarahin binti Romli
10. Nur Heliza binti Helmi
11. Nur Hazwani Afiqah binti Helmi
12. Nur Fazelah binti Mad Tahil
13. Taufiq bin Mohd Razif
14. Muhammad Hareez bin Adzrami
15. Mohd Haikal Luqman bin Zulkefli
16. Rahmat Ikhsan bin Mohd Sofyan
17. Mohd Asmawi bin Mukhtar
18. Norhelmi bin Ab Ghani
19. Norazman bin Ishak
20. Zainal Rashid bin Ahmad
21. Razali bin Awang
22. Muhammad bin Abdullah
23. Nurul Hidayah binti Mohd Amin

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa semua delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla kini dalam perjalanan menuju ke Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan pihak berkuasa Israel.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sentiasa memantau rapat perkembangan insiden itu melalui saluran diplomatik dan berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa Turkiye bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia terlibat terjamin.

Menurutnya, Malaysia menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye serta semua pihak antarabangsa yang membantu memastikan pembebasan dan keselamatan pasukan kemanusiaan negara dalam misi membawa bantuan ke Gaza itu.

Komen
Loading...