Ikuti Kami:

Delegasi Hamas akan ke Mesir untuk rudingan gencatan senjata – Ismail Haniyeh

Delegasi Hamas akan ke Mesir untuk rudingan gencatan senjata – Ismail Haniyeh

GAZA: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh berkata pada Khamis bahawa satu delegasinya akan ke Mesir dalam masa terdekat bagi meneruskan perbincangan secara tidak langsung dengan Israel untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Ini merupakan hasil perbualan telefon antara Haniyeh dengan Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel.

Menurut kenyataan Hamas, Haniyeh memberitahu Kamel bahawa satu delegasi kumpulan itu akan kembali ke Mesir dalam masa terdekat untuk meneruskan perbincangan bagi mencapai satu persetujuan untuk memenuhi permintaan rakyat Palestin dan menghentikan serangan.

Perbincangan secara tidak langsung antara Israel dan Hamas telah berlangsung di Mesir dan Qatar menyasarkan persetujuan yang merangkumi pertukaran tawanan dengan tahanan Israel akan dilepaskan dengan pembebasan warga Palestin daripada penjara Israel.

Tel Aviv percaya lebih 130 warga Israel ditahan di Gaza sementara Israel menahan kira-kira 9,100 warga Palestin di dalam penjaranya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata pada Isnin, Israel memberikan Hamas satu tawaran yang “baik” supaya membebaskan tahanan Israel yang akan membawa kepada satu gencatan senjata di Gaza.

Tawaran terbaharu itu termasuk kesediaan Israel untuk membincangkan “pemulihan kembali ketenangan berpanjangan” di Gaza selepas pembebasan awal tahanan atas dasar kemanusiaan, dua pegawai Israel memberitahu laman sesawang berita Axios.

Sumber
BERNAMA
Komen
Loading...