Ikuti Kami:

Deep Purple Buktikan Mereka Masih Raja Rock

Deep Purple Buktikan Mereka Masih Raja Rock

Deep Purple, nama yang membentuk sejarah rock dunia sejak lebih lima dekad lalu, kembali ke Malaysia dan membuktikan sesuatu yang ramai sudah tahu dalam hati: mereka masih raja rock yang tidak berganjak dari takhta.

Sejak lampu malap dan intro pertama dimainkan, seluruh arena terasa seperti ditarik ke dimensi lain, sorakan bergema, jantung mula berdegup lebih laju dan bila Ian Paice memukul dram untuk pembukaan “Highway Star”, suasana terus meletup.

Ia bukan sekadar permulaan konsert, tetapi menandakan bahawa Deep Purple hadir malam itu untuk memberikan segalanya.

Tenaga mereka tidak menunjukkan tanda-tanda penuaan, setiap anggota masih memancarkan aura bertenaga yang membuat penonton terpesona.

Roger Glover mengemudi alunan bass dengan penuh yakin, setiap dentuman dan garis bassnya tepat pada sasaran, menambat hati pendengar sejak nota pertama dimainkan.

Groove yang dibawanya kekal tajam dan bersih, menyalurkan tenaga yang menular ke seluruh band dan arena.

Simon McBride pula tampil sebagai figura penting, memikul legasi gitar Deep Purple dengan gaya penuh karisma.

Bukan sahaja mengisi tempat Steve Morse, malah membuktikan dirinya gitaris yang mampu membawa identiti tersendiri, dengan solo-solo yang sering mendapat sorakan paling kuat.

Don Airey seperti biasa, mencuri perhatian dengan solo keyboard panjang yang mengundang sorakan bertali arus, seolah-olah memanggil roh Jon Lord untuk bersama di pentas.

Setiap not yang dilayangkannya seperti membawa penonton mengembara ke alam lain, penuh warna, penuh dimensi dan penuh nostalgia. Ada ketika bunyinya liar dan menggila, ada ketika ia menjadi lembut dan bermelodi, seakan-akan berbual dengan jiwa semua yang hadir.

Setlist malam itu adalah perayaan untuk peminat lama dan baharu. “Hard Loving Man”, “Into the Fire”, “Uncommon Man”, “Lazy”, “Anya” dan “Bleeding Obvious” antara yang dimainkan dengan penuh tenaga dan ketelitian.

Ketika “Space Truckin’” bermula, Megastar Arena bertukar menjadi lautan sorakan dan apabila riff ikonik “Smoke on the Water” muncul, seluruh dewan menyatu dalam satu suara, seperti koir rock terbesar di Kuala Lumpur.

Ian Gillan, dengan aura yang tidak dapat dipalsukan, muncul membawa nostalgia yang mengalir perlahan-lahan dalam setiap bait nyanyiannya.

Suaranya memang berubah, tidak lagi setinggi era kegemilangan, tetapi karakter dan keikhlasan penyampaian menjadikan setiap lagu terasa jujur, matang dan tetap menggetarkan jiwa.

Penonton belum bersedia untuk pulang, sorakan berlarutan membawa Deep Purple kembali ke pentas untuk encore yang tidak kurang memukau.

“Hush” dimainkan dengan rasa fun yang menghidupkan semula semangat tahun-tahun awal karier mereka dan “Black Night” menjadi noktah terakhir yang sempurna, memahatkan malam itu sebagai salah satu persembahan rock paling berkesan tahun ini.

Deep Purple membuktikan bahawa legenda sejati tidak bergantung pada usia, tetapi pada roh dan kejujuran dalam muzik mereka dan malam itu, roh itu membara lebih kuat daripada yang dijangka.

Komen
Loading...