Ikuti Kami:

De.Wan 1958 by Chef Wan Tawar Sajian Warisan Tradisional Ramadan

De.Wan 1958 by Chef Wan Tawar Sajian Warisan Tradisional Ramadan

Menyambut ketibaan bulan Ramadan yang dinanti-nantikan, De.Wan 1958 by Chef Wan sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mengangkat martabat juadah warisan Malaysia menerusi kempen ‘Cita Rasa Nostalgia’ bagi tahun 2026.

Ikon kulinari negara, Datuk Chef Wan, berkata hidangan tahun ini bukan sekadar juadah berbuka puasa, sebaliknya ia adalah budaya yang diolah khas untuk membangkitkan memori indah setiap pengunjung.

Antara tarikan utama yang bakal memikat selera pengunjung tahun ini ialah Udang Galah Kalio yang dimasak perlahan bersama rempah aromatik pekat, selain kehangatan ‘wok hei’ daripada Stesen Char Kuey Teow Pulau Pinang yang disediakan segar mengikut pesanan.

“Bagi saya, Ramadan adalah tentang penyatuan. Setiap hidangan yang kami sajikan di sini adalah hidangan yang dekat di hati rakyat Malaysia, disediakan dengan penuh ketelitian dan hormat terhadap tradisi asal,” katanya pada majlis pratonton media di Bangsar Shopping Centre (BSC) baru-baru ini.

Bagi melengkapkan santapan, pengunjung juga boleh menikmati sajian premium di Warung Tradisi & Bakar-Bakar, termasuk Lamb Shank Opor Hijau dan Nasi Ulam Diraja yang sering menjadi buruan ramai.

Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan dengan keperluan berbeza, De.Wan 1958 menawarkan dua konsep sajian yang unik.

Bagi mereka yang menggemari suasana meriah dengan pelbagai pilihan tanpa had, ‘Bufet Malam Malaysia Ikonik’ disediakan di cawangan The LINC KL dan Bangsar Shopping Centre (BSC) dengan harga bermula RM148 bersih.

Sementara itu, bagi pengunjung yang mahukan suasana lebih intim dan eksklusif, ‘Dulang Semi-Bufet Malaysia Ikonik’ di cawangan The Exchange TRX adalah pilihan tepat dengan harga bermula RM79 bersih.

Orang ramai digalakkan untuk membuat tempahan awal memandangkan slot berbuka puasa di restoran ini biasanya mendapat sambutan hangat setiap tahun.

Maklumat lanjut mengenai menu dan tempahan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi di www.dewan.space.

Loading...