DC Skin & Dr. Cute Diktiraf ‘Super Health Brand’ dan Duta Kesihatan Asia Pacific International
- oleh MDaily Editor
- 27 Apr 2026 12:48 am
Syarikat pengeluar produk penjagaan kulit dan kesihatan terkemuka, Dr. Cute International Sdn Bhd (DC Skin) melakar sejarah selepas meraih dua pengiktirafan berprestij pada majlis The 22nd Asia Pacific International HONESTY – Book Of Records 2026 yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini.
Dalam majlis yang diadakan serentak dengan The Asia Pacific Book of The TOP Recognition – Global Elite Gathering itu, DC Skin dinobatkan sebagai penerima anugerah Super Health Brand, manakala pengasasnya, Dr. Abdullah Alias atau lebih dikenali sebagai Dr. Cute, menerima anugerah Health Ambassador (Duta Kesihatan) peringkat Asia Pasifik.
Dr. Cute berkata, pengiktirafan itu adalah hasil usaha keras selama enam tahun sejak syarikat itu ditubuhkan pada penghujung 2019, terutamanya ketika mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Dr.cute (Dr. Abdullah @ Maliq Bin Alias), Pengasas DC Skin.
“Alhamdulillah, pemilihan saya sebagai Duta Kesihatan adalah satu amanah besar. Tanggungjawab saya bukan sekadar menjual produk, tetapi mendidik masyarakat tentang kepentingan memilih produk yang selamat dan berkualiti tanpa komplikasi bahan kimia berbahaya seperti merkuri,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan tersebut.
Beliau yang juga merupakan anak jati Johor dan doktor perubatan bertauliah menjelaskan, jenama DC Skin kini semakin kukuh apabila tiga produk utamanya iaitu supplemen VCSKNZ Probiotik, Gloskyn (oral sunblock), dan Lipotech kini telah mula dipasarkan di 300 cawangan Watsons seluruh negara sejak Januari lalu.
Sementara itu, Pengurus Kanan DC Skin, Mohamad Hakimi Mohamad Rejab berkata, Anugerah Super Health Brand ini adalah langkah pertama untuk syarikat terus memacu kecemerlangan dan melangkah lebih jauh dalam industri pada masa hadapan.

Mohamad Hakimi Bin Mohamad Rejab, Pengurus kanan DC Skin.
“Pengiktirafan Super Health Brand ini menjadi bukti dedikasi Dr. Cute sepanjang enam tahun dalam menyebarkan kesedaran kesihatan, selain komitmen menghasilkan produk yang terjamin menerusi ujian klinikal dan penyelidikan strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Malah, pengguna tidak perlu was-was kerana seluruh rangkaian produk DC Skin telah memiliki persijilan halal daripada JAKIM,” katanya.
Menceritakan titik tolak penglibatannya dalam bidang perniagaan, Dr. Cute mendedahkan bahawa beliau asalnya bercita-cita menjadi pakar bius, namun mengubah haluan selepas menjaga arwah ibunya yang menghidap kanser tahap lewat pada tahun 2016.
“Selepas ibu meninggal dunia, saya mula membuka klinik sendiri dan mula menyedari lambakan produk ‘timbang kilo’ yang merosakkan kesihatan masyarakat. Inilah yang mendorong saya menghasilkan formula sendiri yang lebih selamat untuk kegunaan orang ramai,” jelas beliau.

Dari kiri: Mohamad Hakimi Bin Mohamad Rejab, Pengurus kanan DC Skin dan Dr.cute (Dr. Abdullah @ Maliq Bin Alias), Pengasas DC Skin selepas menerima anugerah.
Anugerah Asia Pacific International HONESTY – Book Of Records merupakan platform pengiktirafan antarabangsa yang menilai integriti, kualiti, dan sumbangan syarikat perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik.
