D’Ayu Pictures Semarakkan Industri Kreatif, Umum Hala Tuju & Filem Baharu
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Malam Rabu lalu menyaksikan D’Ayu Pictures Sdn Bhd mengadakan sebuah majlis penuh gemilang dan bermakna menerusi D’Ayu Pictures Media & Industry Gathering 2025 yang berlangsung di Confetti KL, Sri Kembangan, menghimpunkan rakan media, sahabat industri dan warga kreatif tanah air.
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan eksklusif itu menjadi medan penting bagi D’Ayu Pictures memperkukuh hubungan strategik, meraikan kejayaan bersama serta mengumumkan hala tuju baharu syarikat dalam menerajui pelbagai cabang seni secara progresif.
Acara ini juga memperlihatkan komitmen kukuh syarikat dalam menjadikan industri kreatif Malaysia lebih dinamik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sebagai sebuah syarikat yang aktif dalam bidang penerbitan filem, drama, muzik, penyiaran digital serta kandungan inspirasi, D’Ayu Pictures terus mengangkat nilai teras seperti kekeluargaan, inovasi, profesionalisme dan amanah sebagai panduan dalam setiap karya yang dihasilkan.
Malam tersebut turut menyaksikan pengumuman barisan filem terbaharu terbitan D’Ayu Pictures yang mencerminkan kepelbagaian genre serta kekayaan naratif tempatan.
Menurut Pengasas D’Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, majlis ini bukan sekadar satu pertemuan sosial tetapi simbol kesungguhan dan harapan baharu buat seluruh warga industri.
“Kami percaya industri kreatif Malaysia memiliki potensi besar untuk berkembang ke peringkat antarabangsa. Apa yang penting ialah kita bersatu, berinovasi dan terus menyampaikan karya yang bermakna. D’Ayu Pictures komited untuk menjadi sebahagian daripada gelombang perubahan itu,” katanya.
Antara yang diumumkan termasuk Laknat, Mencari Ramlee, Munajjim, Penghukum Nusantara Assasin, Keajaiban Air Mata Wanita, Anak Medan, Sajen Satu Suro, Insha Allah Baroqah, Badik dan Taneuh Kelaknat yang kesemuanya membawa elemen budaya, mistik, sejarah dan mesej sosial yang mendalam serta relevan.
Tambahnya lagi, D’Ayu Pictures akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan yang bukan sahaja menghibur tetapi juga menyampaikan mesej sosial yang kuat serta membina jati diri bangsa.
Majlis yang berlangsung dari jam 7 malam hingga 11 malam itu diserikan dengan kehadiran ramai penggiat seni, selebriti dan tokoh industri sekali gus memperlihatkan sokongan padu terhadap perjalanan dan aspirasi D’Ayu Pictures ke arah masa depan industri kreatif yang lebih gemilang.