Ikuti Kami:

Dayang Janji Beri Yang Terbaik Untuk Showcase ‘Janji With Dayang’

Dayang Janji Beri Yang Terbaik Untuk Showcase ‘Janji With Dayang’

Penyanyi tersohor negara, Dayang Nurfaizah, berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir ke showcase eksklusif Janji With Dayang yang bakal berlangsung di dua lokasi ikonik, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Ogos dan September ini.

Dalam sidang media yang diadakan di Hotel W, Kuala Lumpur semalam, Dayang meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa apabila semua tiket persembahan habis terjual dalam masa singkat selepas jualan dibuka kepada umum minggu lalu.

“Saya benar-benar terharu dan bersyukur atas sokongan yang tidak pernah putus. Janji With Dayang adalah ruang untuk saya lebih dekat dengan peminat dalam suasana yang lebih peribadi dan istimewa,” katanya.

Dayang (kiri) bersama penganjur utama, Datuk Adzliana Hasan (Usanita Entertainment) dan Shawn Amer (Mask Team).

Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah binti Awang Dowty, 43, turut menyifatkan showcase ini sebagai satu pengalaman yang berbeza kerana berlangsung dalam suasana luar ruangan (outdoor), sekaligus memberi peluang untuk lebih berinteraksi secara santai dengan para penonton.

“Saya rasa konsep luar ruangan sendiri sudah memberikan satu kelainan yang menjadikan persembahan ini lebih istimewa dan eksklusif. Pada hari konsert nanti, saya mahu suasananya santai, tenang macam kita sedang berbual bersama.

“Saya nak dekat dengan penonton, lihat mereka seorang demi seorang. Saya mahu peminat rasa selesa, bebas untuk menikmati persembahan seolah-olah kita sedang ‘chit-chat’ sambil saya menyanyi,” katanya lagi.

Tambahnya, sokongan luar biasa daripada peminat menjadi motivasi besar buat dirinya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Saya amat tersentuh bila dengar ada peminat yang sanggup beli tiket untuk dua lokasi. Ada juga yang kata mereka beli tiket untuk Pulau Pinang sambil bercuti.

“Sokongan seperti inilah yang buat saya terus bersemangat. Insya-Allah, saya janji akan berikan persembahan terbaik di kedua-dua malam istimewa nanti,” ujar Dayang.

Diterbitkan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team di bawah pimpinan Datuk Adzliana Hasan dan Shawn Amer, showcase ini menyaksikan Anwar Amzah dan Naki sebagai persembahan pembuka di kedua-dua lokasi.

Pementasan muzik dikendalikan oleh pengarah muzik berpengalaman, Sze Wan, dengan keseluruhan 17 buah lagu termasuk pembukaan bakal dipersembahkan.

Showcase Janji With Dayang akan membuka tirainya di Top View, KOMTAR, Pulau Pinang pada 23 Ogos 2025 (Sabtu), jam 5 petang dengan kapasiti 700 penonton.

Seterusnya, persembahan kedua akan berlangsung di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September 2025 (Sabtu), jam 8 malam dengan kehadiran 800 penonton.

Showcase ini turut mendapat sokongan padu rakan media ERA, SINAR dan Gempak, dan dijangka menjadi antara persembahan paling eksklusif dan beremosi dalam kalender muzik tahun ini.

Komen
Loading...