Ikuti Kami:

Davina Karamoy & Rigen Rakelna Hidupkan Komedi Seram Kang Solah

Davina Karamoy & Rigen Rakelna Hidupkan Komedi Seram Kang Solah

Peminat filem seram komedi bakal terhibur dengan kehadiran filem terbaharu dari Indonesia berjudul Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November ini.

Filem arahan Herwin Novianto ini menampilkan gabungan elemen seram, lawak dan nilai kekeluargaan yang dekat di hati penonton. Ia merupakan kesinambungan dunia Kang Mak yang pernah mencetuskan fenomena besar di Indonesia sebelum ini.

Menurut pengarahnya, Herwin Novianto, filem ini dihasilkan untuk memberi hiburan seimbang antara seram dan komedi.

“Penonton akan ketawa dan menjerit dalam masa yang sama. Kami mahu mereka menikmati kisah yang seram tetapi tetap lucu,” katanya.

Kisah bermula apabila Solah, lakonan Rigen Rakelna, pulang ke kampung dan disangka hantu oleh penduduk tempatan. Keadaan bertambah kecoh apabila majlis perkahwinan adiknya, Iqbal, dengan kekasih lamanya, Dara lakonan Davina Karamoy, diganggu oleh makhluk legenda bernama Nenek Gayung.

Bersama rakan-rakannya, Solah berusaha menyelesaikan kekecohan itu dengan bantuan Kang Mas Pusi. Gabungan adegan seram dan jenaka menjadikan kisah ini ringan, menghiburkan dan sarat dengan mesej tentang kasih sayang serta persahabatan.

Barisan pelakon popular seperti Rigen Rakelna, Davina Karamoy, Andre Taulany dan Indra Jegel menghidupkan naskhah ini dengan gaya lakonan bersahaja dan mencuit hati.

Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung mendapat sambutan hangat di Indonesia sejak tayangan awal pada 25 September lalu. Kini, ia dibawa ke Malaysia dan Brunei bagi memenuhi permintaan peminat filem seram komedi di rantau ini.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung di pawagam seluruh negara mulai 6 November ini.

Komen
Loading...