Dato’ Sri Siti Nurhaliza Luah Kesyukuran Terima Anugerah Biduan Negara 2024
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Penyanyi tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan yang tidak terhingga atas pengiktirafan sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
Gelaran Biduanita Negara ini merupakan penghormatan tertinggi dalam dunia seni tanah air, diberikan kepada insan seni yang berjasa besar dalam mengangkat muzik dan budaya Malaysia di persada antarabangsa.
Sebagai Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini diiktiraf sebagai salah satu ikon seni negara yang membawa impak luar biasa serta menjadi inspirasi kepada generasi baru dalam industri muzik.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Siti berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi, atas penghormatan yang diberikan.
Menurut Siti, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian seni beliau, tetapi juga simbol penghargaan kepada semua insan seni yang terus memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.
Beliau berikrar untuk terus memartabatkan seni dan budaya dalam industri muzik, seiring dengan amanah yang diberikan.
Siti turut mengenang nasihat arwah ayahnya, Haji Tarudin Ismail, yang sering menyamakan dirinya dengan “bunga melur” — simbolik kesederhanaan dan daya tarik yang memikat.
Beliau menganggap anugerah ini sebagai satu dorongan untuk terus mengukir kejayaan dan menyumbang kepada kemajuan industri seni tanah air.
Mengakhiri kenyataan, Dato’ Sri Siti mengucapkan terima kasih kepada keluarga, syarikat rakaman, pengurusan, sahabat media, dan peminat yang setia menyokongnya sepanjang kerjaya beliau.
Siti berharap penghargaan ini akan menjadi inspirasi untuk terus berkarya dan mengangkat martabat seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Terdahulu Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta sejarah apabila menjadi wanita ketiga diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Biduan Negara pada Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang berlangsung pada malam Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Khairul Firdaus Akhbar Khan pada majlis yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur.
Selain trofi, Siti turut membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 Siti juga membawa pulang wang tunai berserta kain songket watikah dan status sebagai Seniman Tamu.
Selain Siti, dua penyanyi wanita yang pernah menerima anugerah sama adalah Allahyarham Puan Sri Saloma pada tahun 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.
Manakala Allahyarham Tan Sri SM Salim menerima anugerah sama pada 2013 menjadikan hanya empat penyanyi legenda yang pernah menerima pengiktirafan tertinggi itu.